INSIDEN malang yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mencetuskan pelbagai reaksi dan emosi masyarakat di negara ini.
Namun pemantauan di laman sosial menonjolkan sikap pengguna maya yang dinilai sebagai sangat keterlaluan dalam melemparkan komen dan membahaskan isu.
Mereka seolah-olah mendahulukan emosi melebihi kewarasan, bahkan ada yang memperlekeh fakta dengan bidasan serta hujah sendiri yang diputar berlandaskan emosi.
Tindakan ‘lebih sudu daripada kuah' ini telah mengundang gangguan kepada siasatan polis dan pihak berkuasa lain.
Netizen begitu ghairah membongkar maklumat dan gambar dikongsi melalui aplikasi WhatsApp sehinggakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, terpaksa mempercepatkan sidang media yang sepatutnya diadakan pagi 17 September, berikutan penyebaran maklumat dan gambar berhubung kes berkenaan.
Beliau meminta orang ramai supaya berhenti menyebar fakta kes tersebut yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan proses perundangan di mahkamah.
Katanya, mereka yang didapati menyebar maklumat itu boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 203, Kanun Keseksaan.
Selain itu, artikel Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia cawangan Negeri Sembilan, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa yang menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan butiran peribadi, apatah lagi gambar wajah membabitkan pesalah yang masih di bawah umur, berikutan perbuatan sedemikian menyalahi Akta Kanak-Kanak 2001.
Tinjauan di ruang komen Facebook Sinar Harian mendapati, pelbagai reaksi dan hujah diutarakan berunsur menafikan fakta.
Antara komen kurang bernas ditinggalkan iaitu menyalahkan peguam seolah-olah cuba membela pesalah.
“Timbul lagi seorang manusia nak tunjuk bagus, ambil kesempatan nak tonjol diri atau nak cari glamor, semua tertunggu nak tengok wajah remaja itu dan dah dapat tengok. Sekarang tunggu nak lihat wajah ibu bapa remaja itu pula.
“Dia risau akan impak dan trauma budak dan keluarga yang dituduh membakar pusat tahfiz. Trauma dan impak pada keluarga budak tahfiz yang budak dadah tu bakar, kau tak ada belas kasihan pula kan.
“Pesalah bawah umur kena fikirkan, mangsa semua bawah umur macam mana? Tak terbayang keadaan mangsa menanggung sakit berdepan dengan api dan mati perlahan-lahan. Penjenayah macam ini pun masih ada yang sanggup bela, pelik betul Malaysia ni.
“Dalam Islam kalau orang bersalah dan dihukum dipamerkan di tempat awam bagi memberi peringatan. Belajarlah undang-undang Islam, ingatkan dah merdeka bebas penjajah namun undang-undang sekular juga dipegang."
Bahkan tidak kurang juga kelompok netizen yang sanggup membuat grup WhatsApp untuk ‘siasat’ dan bincang kes kebakaran pusat tahfiz.
Mereka menggeledah dan selongkar setiap rangkaian berita, perkongsian Facebook sehingga menimbulkan pelbagai teori dan maklumat tidak tepat.
Kemunculan golongan 'wartawan segera tidak bertauliah' itu dilihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Ditambah kehadiran teknologi di hujung jari, mereka semakin rakus cuba menjadi penyampai pertama tetapi mengetepikan elemen kewartawanan.
Ramai pengguna media sosial mahu menjadi penyampai berita pertama mengenai tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Prof Madya Dr Ismail Sualman dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, bagi mengelakkan kelakuan itu menjadi semakin parah, sudah tiba masanya pihak berkuasa memperkuatkan undang-undang sedia ada.
“Jika tiada penguatkuasaan, mereka yang suka beri maklumat tidak sahih, menggunakan wadah ini untuk tujuan tertentu sehingga mewujudkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan rakyat. Maka ia perlu diambil tindakan segera.
“Contohnya kes tahfiz baru-baru ini, terlalu banyak versi tidak diiktiraf kerana banyak wartawan yang dijelmakan tanpa memahami etika kewartawanan, tanpa mengetahui kebenaran satu berita malah saya lihat mereka menyebarkannya seperti satu cara untuk menunjuk,” katanya.
Beliau berkata, jika tidak dikawal bermula hari ini, dikhuatiri setiap penyebaran berita wartawan segera boleh mengganggu siasatan kes yang menjadi tumpuan umum.
Katanya, apa yang lebih merisaukan adalah menjelang PRU14 yang berkemungkinan lebih banyak berita tidak sahih dijelmakan di media sosial.
“Kita jangan mudah buat telaah, tuduhan atau menyalah mana-mana pihak. Hari ini berita tahfiz. Esok pula banjir. Jangan seronok-seronok nak tularkan berita yang tak sahih. Kena ingat, kita ada undang-undang tapi mengapa dipandang sepi sedangkan ramai yang sudah dikenakan hukuman.
“Saya khuatir menjelang PRU14 ia akan bertambah gawat dan akhirnya nanti kita tidak dapat mengetahui mana satu berita benar, mana yang palsu,” katanya.
Beliau berkata, selain penguatkuasaan yang tegas, semua pihak perlu memainkan peranan supaya fenomena wartawan segera ini tidak terus berkembang.
Katanya, di peringkat sekolah atau pusat pengajian tinggi, guru dan pensyarah perlu memberi maklumat dan pengetahuan berhubung kesan berita tidak sahih apabila disebarkan.
“Ia perlu tetapi tidaklah sampai ada satu pendidikan khas. Setidak-tidaknya boleh diterapkan dalam mana-mana subjek.
“Ibu bapa menyalurkan sedikit maklumat terhadap kesan jika kita menyampaikan informasi tanpa fakta dan kebenaran,” katanya.
Menyelami pengalaman petugas media yang membuat liputan di lokasi kebakaran, wartawan Sinar Harian Online, Muhammad Afham Ramli menceritakan suasana pusat tahfiz yang dikerumuni orang ramai untuk membuat 'Facebook live', 'Insta story', rakaman video dan tidak kurang juga berswafoto serta mengambil gambar di setiap sudut.
“Sejak awal pagi kejadian, orang ramai mula berkerumun di sekitar pusat tahfiz, jiran dan netizen yang datang dari jauh dan dekat. Masalahnya ada sebilangan yang melepasi garisan keselamatan sehingga bomba terpaksa mengeluarkan arahan beberapa kali supaya orang awam menjauhi kawasan itu.
“Orang ramai berada di surau sebelah pusat tahfiz, ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) , tasik dan juga bahagian belakang lokasi kebakaran berkenaan.
“Mereka sibuk merakam video, Facebook live dan juga mengambil gambar untuk laporkan keadaan semasa," katanya.
Menurutnya, ada juga yang singgah semata-mata untuk berswafoto di depan papan tanda pusat tahfiz dan naik ke surau sebelah untuk melihat lebih dekat dan melaporkan kepada rakan-rakan di media sosial masing-masing.
Beliau berkata, boleh dikatakan sehari lebih 1,000 orang berkunjung ke Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Muhammad Afham berkata, meskipun sudah beberapa hari, insiden kebakaran ini masih panas sehinggakan kawasan perumahan sekitar Jalan Keramat Ujung masih didatangi pengunjung.
Fenomena wartawan segera ini turut berlaku di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda ketika pengebumian berlangsung.
Wartawan Sinar Harian, Siti Zubaidah Mat Isa turut berkongsi bagaimana kumpulan wartawan segera ini melambatkan proses menyempurnakan jenazah.
“Ketika penggali kubur masih bertungkus lumus, orang ramai yang hadir bukanlah ahli keluarga terutamanya, sudah sibuk buat 'Facebook live' dan 'Insta story'. Apabila jenazah tiba mereka rempuh garisan keselamatan, serbu untuk ambil gambar dan rakam video.
“Sedangkan kami wartawan dan jurugambar ditempatkan di lokasi khas yang tidak mengganggu urusan pengebumian.
"Sudahlah tukang angkat keranda berbelas orang ditambah pula dengan kumpulan wartawan segera ini, ternyata membuatkan pengebumian dalam cuaca basah dan lecak itu memakan masa yang panjang,” keluhnya.
Sumber: Sinar Harian