100 Pemandu Guna Telefon Bimbit


KUALA LUMPUR  – Lebih 100 pemandu aktif dikesan menggunakan telefon bimbit sepanjang 30 minit pemantauan di lebuh raya dan laluan sekitar bandar raya ini.

Keadaan tersebut diperoleh semasa tinjauan Utusan Malaysia di Lebuh Raya Sungai Besi dan beberapa lokasi di sini.

Antara perbuatan membahayakan tersebut yang dapat dilihat adalah menjawab panggilan, membalas mesej dan melihat peta perjalanan.

Selain itu, hasil pemantauan turut mendapati pemandu pacuan empat roda dan penunggang motosikal merupakan yang paling ramai melakukannya.

Pengarah Bahagian Kejurute­raan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ir. Mohamad Din Dalib berkata, situasi sedemikian boleh dikategorikan sebagai ‘pemandu mabuk’ kerana mereka tidak dapat memberi perhatian penuh di jalan raya dan menyebabkan kenderaan yang dipandu mudah beralih ke lorong lain.

“Sikap tidak bertanggungjawab di jalan raya ini harus dibuang dan tidak boleh dibiarkan.

“Masyarakat perlu ada kesedaran dan sikap berkongsi jalan raya demi keselamatan bersama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan pengguna jalan raya supaya menjadi ‘mata-mata’ bagi melaporkan kejadian penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu kepada pihaknya bertujuan membanteras perbuatan tersebut sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengguna agar memberhentikan kenderaan sekiranya perlu menjawab panggilan atau menggunakan peralatan bebas tangan.

Sumber: Utusan Online