ALOR SETAR - Suasana kampung Melayu di sini yang penuh kasih sayang, semangat kekeluargaan dan saling menghormati walau berlainan bangsa serta agama telah membuatkan 15 Mahasiswa dari Thailand jatuh hati dengan kehidupan di kampung.
Perkara ini berkaitan dengan Program Passage to ASEAN yang diadakan di Homestay MADA Pulau Pisang, Jitra di sini meninggalkan kenangan indah buat mahasiswa Rangsit University, Thailand dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program anjuran Pembangunan Pelajar & Alumni College of Arts & Sciences (UUM CAS) itu antaranya, bertujuan memberi pendedahan kepada penuntut berkenaan khususnya dari Thailand mengenai keunikan Malaysia selain membina rangkaian antara kedua-dua universiti.
“Saya membesar di bandar, apabila berpeluang masuk ke kampung memang seronok, saya kagum dengan cara hidup kampung yang mudah mesra, ambil berat dan mempunyai hubungan erat seperti keluarga sekalipun tiada pertalian darah.
“Bila melihat orang yang tidak dikenali berjalan di situ, mereka akan menegur sapa bertanya kita dari mana, apa yang boleh dibantu membuatkan kita rasa macam sebuah keluarga,” kata salah seorang peserta Thailand, Thikumporn Prachuntasen.
Sementara itu, bagi Akkarawee thiraphongsaphak, dia tertarik dengan kampung yang masih mengekalkan unsur tradisional dalam menghayati kehidupan desa sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang mendamaikan.
“Sebaik sahaja sampai di kampung dengan sawah padi menghijau, kami teruja memancing ikan menggunakan buluh, mandi-manda di sungai dan mengepung itik di dalam lumpur. Itulah saat paling menyeronokkan.
“Peserta bersemangat ke sawah untuk menangkap ikan, lucunya ketika orang lain sudah balik ke rumah ada seorang pelajar tidak mahu naik ke darat kerana leka menangkap ikan yang melompat di permukaan air,” luahnya.
Bagi penduduk disitu, Nor Hizan Abd. Ghani, 60, yang lebih mesra dipanggil Pak Atan, mengalu-alukan kunjungan delegasi yang datang dari jauh serta melayan mahasiswa seperti anak sendiri.
“Uniknya kali ini, kita menerima kunjungan pelajar luar negara jadi banyak yang mereka ingin tahu tentang budaya penduduk yang penuh adab sopan kerana setiap negara mempunyai keunikan tersendiri,” ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.
Menurut Dekan Pembangunan Pelajar & Alumni College of Arts & Sciences (UUM CAS), Dr. Massudi Mahmuddin, seramai 15 mahasiswa Rangsit University berpeluang meneroka kepelbagaian budaya dan keunikan yang ada di sini.
“Program ini menyokong aktiviti kemasyarakatan dan silang budaya sebagai galakan untuk meningkatkan semangat muhibah mendekati masyarakat yang berbeza bangsa dan agama,” katanya dalam program itu, di sini baru-baru ini. - Kedahnews.com