2 Punca Disyaki Punca Kematian 4 Beranak Di Johor Bharu


JOHOR BAHRU - Polis tidak menolak kemungkinan kematian empat sekeluarga di Rini Residence, Mutiara Rini, Jumaat lalu, ada kaitan dengan tekanan kewangan dan masalah kesihatan seorang daripada mereka.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata siasatan awal mendapati kemungkinan kes itu berpunca daripada tekanan kewangan ketua keluarga berkenaan dan masalah kesihatan isterinya yang sakit bagi tempoh lama.

"Setakat ini tiada unsur jenayah lain dapat dicungkil di lokasi kejadian. Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan bedah siasat empat sekeluarga itu dan laporan penuh bagi menyokong andaian terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor sempena Kejohanan Bola Sepak Ketua Polis Negara 2017 di sini, hari ini.

Mayat ketua keluarga itu, P Pubalan, 53; isterinya, P Jeya, 46, dan dua anak mereka, P Sharveen, 14, dan P Krishna, 9, ditemui kira-kira jam 2.30 petang Jumaat lalu oleh rakan Pubalan yang ke kediaman berkenaan.

Pubalan ditemui mati tergantung dengan kain putih yang diikat pada siling, manakala mayat isterinya ditemui di atas katil berhampiran ruang tamu di tingkat bawah rumah.

Mayat dua anak pasangan itu pula ditemui dengan kesan jerutan pada leher di sebuah bilik lain.

Sumber: BH Online