3 Tahun Penduduk Sik Hidup Menderita Kerana Bekalan Air Terjejas


ALOR SETAR - Tiga tahun bukanlah masa yang singkat, namun tempoh tersebut terpaksa dihadapi oleh penduduk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Kota Aur, Sik yang menderita kerana bekalan air terjejas.

Sehingga kini masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan dan seramai 72 penempatan penduduk di kawasan berkenaan terjejas.

Penduduk, Amy Nadia Ramli, 30, berkata, mereka hanya boleh mendapatkan bekalan air paip pada waltu-waktu tertentu seperti sekitar jam 1 hingga dua pagi.

"Kadang-kadang dalam sebulan ada beberapa kali air paip tapi kena tunggu jam 1 hingga 2 pagi.

"Adalala sebulan hingga dua bulan berturut-turut air paip langsung tak ada," katanya.

Menurut Mohamed Said Abdullah, 71, berkata, selama ini penduduk terpaksa bergantung air dari telaga termasuk bekalan dihantar lori Sada.

"Itu pun kena telefon Sada baru air dihantar, kadang-kadang sampai empat hari nak kena tunggu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi 4P ( Pasukan Perancang Pelaksana Projek) Desa Keda Kota Aur, Md Zuki Harun berkata, sebagai alternatif, masalah itu diatasi Keda dengan pembinaan projek panel solar sejak tahun lalu.

"Masalah air Sada ni dah lebih lima tahun, untuk selesaikan masalah itu Keda menyediakan air disedut dari perut bumi dan disalirkan kepada penduduk," katanya. - Kedahnews.com