36 Pemandu Dapat Saman Had Laju


TAPAH - Padah memandu melebihi had laju, 36 pemandu lori dan bas ekspres dikenakan saman dalam operasi di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang berakhir awal pagi semalam.

Operasi bermula jam 11 malam dan berakhir jam 2 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pegawai Turus Lebuhraya Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Hazil Reza Ghazali berkata, operasi membabitkan 30 pegawai dan anggota di empat lokasi iaitu di Sungai Dua, Pulau Pinang, Kuala Kangsar, Ipoh dan Tapah, Perak bagi mengesan kenderaan perdagangan yang memandu melebihi had laju ditetapkan.

“Hasil operasi, polis mengeluarkan 36 saman dengan 22 daripadanya membabitkan pemandu lori manakala 14 lagi pemandu bas ekspres yang memandu laju.

“Daripada 36 kes berkenaan, 16 daripadanya diambil tindakan oleh SPAD kepada pengendali lesen atau pengusaha syarikat kenderaan berkenaan bagi tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya ketika ditemui di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, semalam.

Hazil Reza berkata, pihaknya memandang serius terhadap kesalahan memandu melebihi had laju terutama membabitkan lori dan bas ekspres berikutan perkara itu boleh mengakibatkan kemalangan yang membahayakan nyawa penumpang serta pengguna lebuh raya lain.

“Operasi ini dijalankan sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya kemalangan serta peringatan kepada pemandu lori dan bas supaya mematuhi had laju ditetapkan.

“Kesalahan melebihi had laju antara punca kemalangan di lebuh raya. Jjadi operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membendung pemandu lori dan bas memandu laju,” katanya.

Sumber: MyMetro