EMPAT puluh sembilan individu terdiri remaja bawah umur dan empat warga asing ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan di Jalan P Ramlee dan Jalan Brunei, Kuala Lumpur, awal pagi ini.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata operasi itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan sasaran pusat hiburan di sekitar ibu negara.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua pusat hiburan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 27 dan Peraturan 30 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan iaitu beroperasi lebih masa dan membenarkan pengunjung bawah umur.
"Daripada 49 individu ditahan, 45 adalah remaja bawah umur manakala empat warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri dan mendiami melebihi tempoh," katanya.
Katanya, semua suspek dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Sumber: MyMetro