5 Kakitangan JPJ Mungkin Dipecat Kerana Dadah


PETALING JAYA - Peluang 5 kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dinaikkan pangkat mungkin terjejas dan akan dikenakan tindakan, jika ujian air kencing terakhir mereka disahkan positif dadah.

China Press melaporkan proses kenaikan pangkat 5 pegawai itu diteruskan dan mereka dibenarkan menjalankan tugas seperti biasa, sementara menunggu laporan terakhir Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang akan dikeluarkan dalam tempoh 2 bulan.

Menurut laporan akhbar itu, jika mereka disahkan mengambil dadah, 5 kakitangan itu berdepan kemungkinan dipecat.

Akhbar itu difahamkan 5 kakitangan terbabit bertugas di Selangor dan disebabkan prestasi kerja yang baik, pegawai atasan mengesyorkan kenaikan pangkat ke gred AB29, di mana mereka boleh menjalankan pemeriksaan lesen kenderaan dan setiap tahun akan mendapat kenaikan gaji sekurang-kurangnya RM145.

Lima anggota JPJ itu yang baru menamatkan kursus kenaikan pangkat pegawai pemeriksa lesen, didapati positif dadah dalam saringan awal air kencing yang dijalankan AADK pada 4 Oktober lalu.

Saringan itu adalah proses biasa ketika kenaikan pangkat atau tamat latihan dalam usaha JPJ memastikan anggotanya bebas pengaruh dadah atau rasuah.

Sumber: FMT