500 Kanak-Kanak Mati Lemas Setiap Tahun Di Malaysia


PULAU PINANG  - Kesedaran yang masih rendah tentang aspek ke­selamatan ketika melakukan aktiviti air dipercayai menjadi punca utama kira-kira 500 kanak-kanak mati lemas di negara ini setiap tahun.

Menurut Penyelidik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak, Datuk Dr. Amar Singh­ berdasarkan kajian beliau, majoriti mangsa terdiri daripada mereka yang berusia satu hingga 18 tahun.

Lebih mengejutkan, katanya, pada tahun ini, seramai 31 kanak-kanak telah mati lemas di kolam renang hotel dan taman tema air bermula Januari hingga September lepas.

“Selama ini kita berpendapat kolam renang di hotel atau taman tema lebih selamat berbanding membenarkan kanak-kanak me­lakukan aktiviti air di sungai atau laut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Seminar Pencegahan Lemas yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye.

Menurut beliau, angka kematian yang tinggi itu disebabkan mangsa cuba menyelamatkan rakan yang yang lemas sekali gus menyebabkan risiko kematian menjadi dua kali ganda.

Sementara itu, Lam Thye berkata, pihak berkuasa perlu membina pangkalan data lengkap yang mengandungi statistik kes lemas dan maklumat berkaitan supaya pendekatan secara menyeluruh dapat diperkenalkan untuk mengurangkan jumlah insiden lemas.

Ujar beliau, data mengenai kes lemas boleh dikumpulkan pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perangkaan dan Kementerian Kesihatan.

“Pengumpulan data ini merupakan langkah pertama dalam usaha pencegahan lemas kerana membolehkan kita mengkaji punca dan bagaimana setiap kes lemas berlaku,” katanya.

Sumber: Utusan Online