56.6 Tan Bantuan Terbang Ke Bangladesh


MALAYSIA menghantar bantuan keperluan sebanyak 56.6 tan ke Bangladesh menerusi misi ketiga 'Negaraku Prihatin, Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya' untuk pelarian yang kini berlindung di kem di Cox's Bazar, Bangladesh.

Bantuan keperluan itu antaranya biskut, tuala wanita, sabun, tuala, berus gigi, lampin pakai buang, selimut serta beberapa keperluan lain.

Pelancaran misi itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks MAB Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Bantuan berkenaan dikoordinasikan oleh pihak iM4U dengan kerjasama Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ia dihantar menerusi pesawat MAB Kargo jenis A330-300 yang berlepas 2.45 petang hari ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong, Bangladesh.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif iM4U Rudy Malik yang mengetui misi ketiga berkenaan berkata, misi pertama dan kedua sudah dilaksanakan sebelum ini membabitkan penghantaran bantuan 10 hingga 12 tan dan seterusnya kira-kira 30 hingga 40 tan.

Menurutnya, untuk penghantaran kali ketiga ini, bantuan akan membabitkan pelarian Rohingya ditempatkan di kem Kutupalong dan Balukhali.

"Semua bantuan diterima adalah daripada orang ramai melalui pelbagai kaedah antaranya dikumpulkan di pusat pengumpulan tertentu selain kerjasama dengan pihak swasta yang ingin membantu.

"Kita juga mempunyai akaun khas untuk sesiapa saja memberi bantuan iaitu melalui Tabung Bantuan Bencana iM4U di akaun Maybank 564324605701," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran 'Negaraku Prihatin, Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya'.

Mengulas lanjut, beliau menjangkakan, lebih banyak bantuan akan dihantar ke Bangladesh bagi membantu pelarian Rohingya selepas misi ketiga berkenaan.

"Kita lihat kesungguhan rakyat Malaysia memberikan bantuan untuk menjayakan misi ini dan walaupun ada yang bukan dari segi kewangan, mereka turut menyatakan sokongan terhadap usaha ini," katanya.

Sumber: MyMetro