700 Lemas Setiap Tahun - MKAA


GEORGETOWN - Kira-kira 700 kes lemas dilaporkan berlaku di seluruh negara setiap tahun, dengan hampir 500 daripada angka itu membabitkan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 18 tahun.

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian lemas kini menjadi punca kematian kedua tertinggi di negara bagi golongan kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun.

Katanya, kejadian lemas berpunca daripada sikap kanak-kanak dan remaja yang cuba menyelamatkan rakan mereka ketika berdepan situasi terbabit, selain kebanyakan kes berlaku ketika musim cuti sekolah.

"Ibu bapa perlu sentiasa memantau kegiatan anak mereka ketika beriadah atau menjalankan aktiviti di dalam air kerana ramai tidak peduli anak mereka ketika sedang bermain di kawasan berhampiran sungai atau kolam.

"Pentadbiran sekolah juga perlu memberi perhatian serius mengenai perkara itu dengan menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran mengenai bahaya lemas, khususnya sebelum musim cuti sekolah.

"Pihak berkuasa tempatan juga perlu meletakkan dan menyelenggara papan tanda amaran mengenai bahaya lemas di kawasan strategik, selain memastikan pemilik lombong tinggal atau kolam takungan dipagar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan di Kolej Perubatan Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Lam Thye menggesa pihak berkuasa menyeragamkan pengumpulan data terperinci berkaitan kes lemas selepas kebanyakan agensi berkaitan didapati mengeluarkan data berbeza.

"Protokol seragam perlu dibuat bagi pengumpulan data terperinci mengenai kes lemas, sekali gus muncul sebagai langkah awal pencegahan kes sedemikian.

"Ia juga membolehkan pihak berkaitan mengkaji punca dan langkah pencegahan bersesuaian bagi setiap kes lemas di lokasi tertentu," katanya.

Info

Seramai 31 kanak-kanak lemas dilapor lemas di kolam renang hotel dan taman tema air dengan 75 peratus berusia 5 tahun ke bawah, sepanjang Januari hingga September lalu.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) merekodkan kira-kira 40 individu maut akibat lemas setiap jam dengan 372,000 angka kematian setahun.

Kes kematian kanak-kanak akibat lemas direkodkan lebih tinggi berbanding denggi, iaitu 30 berbanding 1.

Sumber: BH Online