JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mendedahkan ada konspirasi untuk menyingkirkannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun belum sampai setahun beliau memegang tampuk kepemimpinan badan induk tersebut.
Tunku Ismail mendedahkan ada segelintir Exco yang bersekongkol mahu beliau melepaskan jawatan dan ada juga yang cuba mengeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam.
“Bukan sahaja nak singkirkan dia (Kevin), malah ada yang nak singkirkan saya sebagai Presiden FAM. Ramai dalam FAM yang berangan nak jadi presiden. Saya cakap terus terang.
“Apa yang mereka lakukan dengan meminta media tulis macam-macam dan berharap jika saya dah muak dan akan tinggalkan FAM, maka dapatlah peluang mereka memegang jawatan presiden.
“Ia tidak akan berlaku. Jadi dalam FAM pun ada yang cuba berpolitik, malah yang hendak menaja Liga Malaysia (Liga M) juga ada politik, kononnya hendak buat konsortium sendiri atau syarikat sendiri dan tidak perlu lagi ada FMLLP,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Kongres Tahunan Kelab Bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor, semalam.
Sumber: Utusan