Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?


KUALA LUMPUR - Selepas melalui pelbagai kontrovesi, Ezlynn akhirnya bercerai talak satu dengan Adam Fahmy selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.

Adam, 38, melafazkan cerai terhadap Ezlynn di Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas dia bersetuju menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka yang berlarutan sejak awal tahun ini secara baik.

Lafaz itu dibuat Adam di hadapan Hakim Syarie, Noorbyetty Nasir kira-kira pukul 10.30 pagi.

Sebelum itu, Noorbyetty mengarahkan Adam dan Ezlynn bersalaman dan bermaaf-maafan buat kali terakhir sebelum lafaz cerai dibuat.

Ezlynn atau Azline Ariffin, 36, memfalkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur 1984 pada 7 April lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 21 November 2011 namun masih belum dikurniakan cahaya mata.

Sebelum ini Ezlynn mendakwa rumahnya diceroboh suami sendiri yang melarikan beberapa barang berharga namun perkara itu disangkal oleh Adam kerana rumah berkenaan adalah milik mereka bersama.

Sementara itu, Adam ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu akan memfailkan nusyuz terhadap penyanyi itu dalam masa terdekat ini.

Adam berkata, dia mengambil keputusan itu bagi membuktikan kepada mahkamah bahawa segala tuduhan dilemparkan terhadapnya sebelum ini adalah fitnah.

Malah kata Adam, Ezlynn juga ingkar untuk kembali taat kepadanya walaupun dia telah menyerahkan surat tuntutan untuk berbuat demikian kepada penyanyi lagu Hye Hye Bye Bye itu pada 15 Ogos lalu.

Ezlynn anggap keputusan Adam ingin memfailkan nusyuz terhadapnya sebagai hak lelaki itu.

"Demi menyelamatkan rumah tangga kami saya minta dia kembali taat dan berpindah ke rumah kelamin baru kami di Cheras tetapi ia tidak mengendahkannya.

"Malah saya minta dia tidak lagi melakukan perkara-perkara tanpa izin dan di luar pengetahuan saya namun semuanya diabaikan.

"Dia juga tidak henti-henti menyebarkan fitnah tentang saya walaupun saya sudah menegurnya tidak boleh mengaibkan suami namun semuanya dilakukan untuk mendapatkan simpati masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata, dia memutuskan untuk bercerai secara baik kerana tidak tahan lagi menjadi mangsa fitnah bekas isterinya itu sehingga dia dan keluarganya mendapat malu.

Kata Adam lagi, dia sudah cuba menyelamatkan perkahwinan mereka dengan pendamaian namun Ezlynn tetap nekad untuk bercerai.

"Dia telah melakukan pelbagai perkara dengan niat untuk mendapatkan dan mempercepatkan proses perceraian termasuk memutarbelitkan fakta kes dengan tujuan fitnah dan memburukkan dan menghina saya, suaminya sendiri," katanya.

Sementara itu, Ezlynn ketika ditanya mengenai reaksi berhubung tuntutan nusyuz itu memberitahu Adam boleh meneruskan proses itu kerana itu adalah haknya.

"Suka hati dia. Dia boleh cakap apa sahaja dan kita tengok sahaja nanti.

"Dia hendak kata saya abaikan dia... dia dahulu yang mengabaikan saya, perasaan saya dan peluang telah diberikan terlalu lama.

"Apa-apa pun saya tenang dan lega, Alhamdulillah Allah permudahkan urusan saya hari ini," katanya.

Sumber: Mstar Online