Agensi Kedah Banteras Penceroboh Tanah Kerajaan


ALOR SETAR - Beberapa agensi Kedah bekerjasama dalam usaha untuk membanteras penceroboh tanah kerajaan melalui Operasi Pugar.

Seramai 157 anggota dari 18 agensi terlibat terdiri daripada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Daerah, dan banyak lagi.

Timbalan Pengarah Operasi, Mohd Rahim Ramli berkata, Operasi Pugar akan melibatkan tiga zon di sekitar Hutan Simpan Bukit Perak iaitu Zon A, B dan C.

"Seramai 70 anggota penguatkuasa dari Jabatan Perhutanan Kedah dan selebihnya dari agensi lain," katanya.

Menurutnya, kesemua lokasi yang terlibat dalam operasi adalah merupakan tanah hak milik jabatan perhutanan dan pihak kerajaan dan operasi berkenaan dijalankan bagi menyedarkan penceroboh akan kesalahan mereka.

"Kita amat berharap orang ramai terutama mereka yang terlibat membuat penanaman haram ini sedar akan kesalahan mereka dan ia boleh di dakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Jelasnya lagi, sebelum operasi tersebut dijalankan, intipan selama dua minggu telah dijalankan oleh pihak Jabatan Perhutanan bagi mengumpul maklumat.

"Pada hari ini, kami menghadapi beberapa cabaran apabila tayar kereta yang dinaiki oleh anggota penguatkuasa terkena paku yang dipercayai ditabur oleh pihak penceroboh.

"Meskipun begitu, operasi tetap diteruskan dan kita dapati mereka yang menceroboh tanah kerajaan menanam pokok getah, pisang, durian dan juga buah-buahan lain, " katanya.

Sementara itu, agensi yang terlibat dengan operasi telah menjalankan tindakan memusnahkan kesemua tanaman berkenaan bagi memastikan tanah milik kerajaan berkenaan dapat dibersihkan dari sebarang pencerobohan. - Kedahnews.com