Ahmad Bashah Mahu Puteri UMNO Bersedia Hadapi PRU14


SUNGAI PETANI - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah  mengingatkan Pergerakan Puteri UMNO negeri supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran baru dalam Pilihanraya  Umum (PRU) akan datang.

Katanya, pengalaman menghadapi PRU selama 13 kali sebelum ini belum mencukupi untuk jentera parti berhadapan rakyat pada PRU ke-14.

"Setiap kali kita nak PRU, kita akan menghadapi suasana dan perubahan baru dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang berbeza walaupun kita baru sahaja menghadapi PRU pada 2013.

"Oleh sebab itu, semua ahli termasuk sayap UMNO termasuk Puteri harus sentiasa bersedia menyiapkan diri berjumpa dengan rakyat sekali lagi walau dengan apa jua keadaan," katanya.

Katanya, kebangkitan parti sehingga berjaya menawan negeri Kedah pada PRU13 adalah hasil kerja kuat yang dilakukan serta jentera parti yang hebat.

"Jadi pada hari ini kita kena bersedia kerana tugas kita adalah bagi memastikan cita-cita pembangkang untuk menawan Kedah terhalang sehingga waktu PRU nanti.

"Nak menang kita kena bersedia turun ke semua kawasan untuk bertandang rumah ke rumah rakyat akar umbi untuk bertanya khabar dan mendekati mereka," katanya.

Bagaianapun beliau yakin jentera Puteri UMNO Kedah mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah yang juga Pengerusi UMNO negeri meminta ahli Puteri untuk terus komited mendekati golongan muda dalam usaha menambah keahlian dan memastikan kira-kira 3,756 ahli baharu mendaftar sebagai pengundi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Puteri UMNO Cawangan seluruh negeri serta Pelancaran Jentera PRU14 Puteri UMNO Kedah di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO negeri Datin Norhashimah Md Nowar.- Kedahnews.com