AirAsia Tawar Tambang Promosi Akhir Tahun Serendah RM39


KUALA LUMPUR - Syarikat tambang murah, AirAsia menawarkan tambang promosi akhir tahun serendah RM39 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Sihanoukville, Luang Prabang, Pattaya, Shantou, Kalibo (Boracay) dan Visakhapatnam.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata, penumpang dari Kuching ke Langkawi dan Pontianak juga berpeluang menikmati tambang murah bermula dari RM79, dan dari serendah RM169 bagi penerbangan dari Johor Bahru ke Macao dan Kolkata.

Penumpang penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Perth, Taipei, Shanghai dan 120 lagi destinasi di Asia, New Zealand, Timur Tengah dan Amerika Syarikat juga boleh menikmati tambang hebat bermula dari RM279.

Menurut syarikat penerbangan itu, promosi berkenaan termasuk tempat duduk bagi AirAsia X Premium Flatbed, dengan tambang bermula dari RM699 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth, Taipei dan beberapa destinasi lain.

Promosi hebat akhir tahun itu bermula hari ini sehingga 15 Oktober bagi perjalanan sehingga 31 Mac, 2018, yang boleh didapati di www.airasia.comserta aplikasi mudah alih AirAsia.

Pelanggan juga boleh memilih untuk 'Value Pack', yang menawarkan peruntukan bagasi daftar masuk 20 kilogram, sajian makanan, pilihan tempat duduk standard serta perlindungan insurans, termasuk perlindungan kelewatan bagasi. - Bernama