Aksi ‘Bodoh’ Sekumpulan Lelaki Hampiri Perangkap Buaya Dikecam


SYDNEY – Sekumpulan lelaki bertindak di luar dugaan apabila berenang tanpa sebarang peralatan keselamatan ke arah perangkap buaya semata-mata mahu menunjukkan keberanian mereka.

Kejadian berlaku di Port Douglas, Queensland, Australia itu bagaimanapun dilabel pelbagai pihak sebagai ‘bodoh’ selepas seekor buaya sepanjang 4.3 meter membaham seorang warga emas, Anne Cameron, 79, berhampiran pe­rangkap tersebut dua minggu lalu.

Menurut portal Gulf News, lelaki terbabit dikatakan berenang ke arah perangkap tersebut dan bergambar sebelum memuat naik­ dalam laman media sosial.

Datuk Bandar Douglas Shire, Julia Leu berkata, pihaknya terkejut dengan tindakan bodoh kumpulan lelaki berkenaan.

“Apa yang dilakukan cukup menghairankan, ini adalah tindakan bodoh dan berbahaya. Saya terfikir apakah mereka ini cuba untuk mendapat anugerah tindakan paling bodoh,” katanya kepada stesen televisyen ABC.

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar Queensland, Steven Miles turut berpendapat tindakan sedemikian sebagai tidak masuk akal.

“Daging yang diletakkan di dalam perangkap itu adalah untuk buaya, oleh itu berbahaya kalau berenang ke kawasan ber­kenaan. Tindakan itu bodoh dan melanggar undang-undang,” katanya.

Kematian Cameron dua ming­gu lepas menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan untuk menangkap reptilia tersebut.

Jabatan Alam Sekitar Queensland dalam kenyataannya telah memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi perangkap buaya tersebut.

“Tindakan itu bukan sahaja berbahaya malah mereka boleh didenda sehingga A$15,000 (RM49,500) jika disabitkan ke­salahan,” kata kenyataan itu.

Sumber: Utusan Online