KUALA LUMPUR - Aktres popular era 1970-an, Nozie Nani, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit di kediamannya di Batu Pahat, Johor pada jam 8.30 malam tadi.
Nozie, 66, atau nama sebenarnya, Nozia Nani menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung dan terbaharu, disahkan menghidap kanser rahim tahap pertama, bulan lalu.
Pada 2013, Nozie menjalani pembedahan memotong kaki kirinya akibat penyakit kencing manis.
Anak bongsunya, Nabila Najat Mohd Nazamuddin, 32, memberitahu, arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir di sisi abang, Nizad Norman, 34, dan menantu pada jam 8.30 malam.
"Kami amat terkejut dengan pemergiannya. Sebelum itu, arwah meminta abang membuatkannya air susu kambing.
"Arwah masih boleh bercakap. Abang mahu memanggil ambulans atau menghantarnya ke hospital apabila melihatkan keadaannya tidak sihat tetapi arwah menolak.
"Secara tiba-tiba, arwah sesak nafas dan terus menarik nafas terakhir. Saya yang berada di tingkat atas rumah pun tidak sempat melihatnya buat kali terakhir.
"Apabila ambulans tiba, arwah disahkan sudah tiada," katanya ketika dihubungi BH Online.
Nabila berkata, kesihatan ibunya tidak menentu, lebih-lebih lagi apabila disahkan menghidap penyakit kanser rahim.
"Apabila sihat, seharian arwah akan berjaga, sebaliknya jika tidak sihat, dia terlantar di atas katil dan tidur sahaja.
"Bagaimanapun, tiada perubahan yang ditunjukkan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir. Kami reda tetapi masih terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba.
"Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Semai, Batu Pahat jam 10 pagi ini," katanya.
Selain Nabila dan Nizad Norman, Nozie memiliki seorang lagi anak iaitu Nizad Nazril, 35. Suaminya, Allahyarham Mohd Nazamuddin Husain meninggal dunia pada 2003.
Allahyarham pertama kali diperkenalkan menerusi filem Permintaan Terakhir pada 1973 bergandingan dengan Uji Rashid. Arwah juga membintangi Jiwa Remaja dan Cinta Dan Lagu, semuanya diarahkan Allahyarham Datuk Jamil Sulong.
Sumber: BH Online