Ambiga Perlu Buktikan Tidak Difitnah Rewcastle-Brown


Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan, perlu tampil menjawab kenyataan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang menamakan beliau sebagai sumber maklumat terhadap laporan mengaitkan pemimpin tertinggi PAS menerima wang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Ambiga perlu menjawab pengakuan itu bagi membuktikan bahawa dirinya tidak difitnah Rewcastle-Brown.

"Setakat ini, Ambiga belum membuat apa-apa kenyataan menjawab perkara itu. Wanita UMNO meminta beliau tampil membuat pengakuan, jika benar beliau mendakwa pemimpin PAS menerima bayaran dan menyokong tuduhan berkenaan dengan bukti kukuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahrizat mengulas laporan portal The Malaysian Insight yang mendedahkan, menerusi hujah balas dan pembelaan yang difailkan Rewcastle-Brown, mengatakan pernah bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 mengenai Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PAS.

Pembelaan itu difailkan Rewcastle-Brown dalam saman fitnah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, di Mahkamah Tinggi London pada April tahun ini, membabitkan artikel yang mendakwa PAS menerima dana berjumlah RM90 juta sebagai habuan menyokong Barisan Nasional.

Artikel Sarawak Report bertajuk 'As Najib denies all over 1MDB let's not forget his many other criminal connections' disiarkan menerusi portal itu pada 6 Ogos 2016.

Shahrizat berkata, Ambiga yang juga bekas Pengerusi Bersih itu, perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Rewcastle-Brown jika dapat membuktikan tuduhan terhadapnya itu adalah satu fitnah.

Sumber: BH