Aneh! Berpuluh-Puluh Gigi Tumbuh Di Tekak


Beijing - Seorang lelaki yang mengalami kesukaran bernafas sejak setahun lalu terkejut selepas mendapati tekaknya ditumbuhi puluhan ketulan keras seperti gigi.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Zhang membuat pemeriksaan di sebuah hospital di wilayah Jiangsu selepas sering sukar bernafas.

Dr Zhu Xiangping dari Hospital Rakyat Jiangsu Subei yang memeriksa Zhang terkejut apabila menemui ketulan keras di tekak lelaki itu.

Menurutnya, keadaan itu dikenali sebagai Tracheobroncheopathia Osteochondroplastica (TO) dan penyakit itu sangat jarang ditemui serta kurang 400 kes dilaporkan di seluruh dunia.

“Ketulan ini berwarna putih dan keras seperti gigi. Ia juga sangat keras dan tidak boleh dicabut,” katanya.

TO kali pertama ditemui oleh seorang pakar Britain, Samuel Wilks pada 1857 dan dilaporkan dalam Jurnal Britain untuk Anestesia.

Punca penyakit itu masih belum diketahui hingga ke hari ini tetapi satu laporan kes di Amerika Syarikat menyatakan ia berkaitan dengan kanser kulit.

“Terdapat 10 kes dilaporkan di China dan kurang 400 kes di seluruh dunia,” jelasnya.

Menurutnya, ketulan di dalam tekak Zhang mencecah 10 milimeter panjang menyebabkan batuk dan kahak berdarah.

“Ketika ini hanya ada rawatan sementara untuk meredakan penyakit lelaki ini.

“Terapi laser dan rawatan lain hanya boleh melegakan kesan penyakit tetapi ia tidak boleh disembuhkan sepenuhnya,” katanya.

 Sumber: Metro