ANGKASA Mohon Kerajaan Turunkan Cukai Koperasi


ALOR SETAR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meminta kerajaan menurunkan sumbangan cukai pendapatan organisasi itu dalam usaha mereka menjana pendapatan kepada 13,428 koperasi di seluruh negara ini.

Menurut Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah, pihaknya meminta supaya kerajaan mempertimbangkan permohonan mereka menjelang pembentangan Bajet 2018 nanti.

“Sejak 1993 di mana Akta Koperasi dimulakan, sektor koperasi menyumbang sebanyak 27 peratus setiap kepada negara setiap tahun di mana tiga peratus daripadanya pula disumbangkan kepada Tabung Pembangunan dan Pendidikan Koperasi (TPPK).

“Ini berbeza dengan sektor swasta di mana mereka hanya menyumbang sebanyak 24 peratus sahaja dan perbezaan ini tidaklah adil kepada sektor koperasi kerana ia akan mengurangkan penjanaan aktiviti perniagaan kepada sektor koperasi yang terdapat di negara ini,” ujarnya yang dipetik dari MyMetro.

Beliau berkata, sumbangan 27 peratus oleh sektor koperasi kepada negara dilihat memang agak tinggi dan tidak seimbang dengan sektor swasta.

“Banyak sektor koperasi yang bersama dengan ANGKASA memerlukan biaya dalam membangunkan perniagaan mereka.

“Oleh hal demikian, sumbangan cukai pendapatan ini sebaiknya diselaraskan supaya seiring dengan cukai pendapatan yang disumbangkan olej sektor swasta,” jelasnya.

Tambahan pula, pengurangkan peruntukan Tabung Modal Pusingan Koperasi daripada RM150 juta kepada RM50 juta sahaja bermula tahun lalu dilihat mampu menjejaskan perolehan sektor koperasi.

“Kita memohon pada kerajaan supaya menambahkan peruntukan sebanyak RM500 juta kembali sebagai langkah untuk memperkasakan janaan aktiviti perniagaan gerakan koperasi.

“Tanpa peruntukan yang diberikan seperti dahulu ia akan menjejaskan aktiviti perniagaan sektor koperasi sekaligus membantutkan sasaran kerajaan untuk meningkatkan capaian RM50 bilion perolehan pada tahun 2020 nanti,” katanya.

Abdul Fattah berkata demikian selepas melancarkan Seminar Audit Dalam Koperasi 2017 yang bertajuk ‘Tadbir Urus Cukai dan Integriti Dalam Koperasi’ di sebuah hotel di sini, semalam.

Dalam pada itu, seramai 460 peserta yang terdiri daripada pemimpin koperasi di empat negeri di Wilayah Utara seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis turut hadir dalam seminar dua hari berkenaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Naib Presiden ANGKASA Dr Azlan Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Kedah Wan Ibrahim Wan Jusoh. - Kedahnews.com