SHAH ALAM - Penganjuran pesta arak BetterBeerFestival 2017 seolah-olah mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berimej penagih arak.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penganjur acara berkenaan tidak melihat ia sebagai satu isu sensitif memandangkan negara ini mempunyai majoriti penduduk Islam.
“Dengan mengungkap bahawa isu keselamatan dan pematuhan semua peraturan pihak berkuasa tempatan ketika acara itu berjalan akan dipatuhi, mereka merasakan penganjuran pesta itu sepatutnya dibenarkan.
“Soalnya adakah Malaysia memerlukan acara seperti itu diadakan di negara ini? Apa manfaatnya acara minum arak secara beramai-ramai secara terbuka diadakan dalam bentuk pesta yang khusus untuk arak?,” soalnya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, penyokong pesta arak atas nama hak untuk minum arak dalam kalangan bukan Islam hanya berdalih dengan mendakwa hak mereka tidak boleh dihalang.
“Namun menafikan hak masyarakat untuk menolak akibat buruk dari ketagihan arak kepada kesihatan dan sosial masyarakat tidak pula diberi perhatian.
“Kini Malaysia sudah menjadi antara negara yang memiliki pengambilan arak per kapita yang tinggi. Tidak dapat dinafikan pelbagai masalah sedang dan bakal dihadapi oleh masyarakat jika ketagihan arak di negara ini menjadi fenomena dan tidak dibanteras," katanya.
Menurutnya, keputusan pihak berkuasa tidak meluluskan acara Beer Fest tersebut adalah wajar.
“Hak orang bukan Islam di bolehkan minum arak di negara ini sering dijadikan hujah. Soalnya apakah hak masyarakat untuk mendapat perlindungan dari kerosakan yang dibawa oleh arak.
“Kami berpendirian pihak kerajaan harus konsisten dengan dasar memelihara kesihatan rakyat dan tidak tunduk kepada pihak yang ghairah dengan promosi industri arak demi meraih keuntungan besar atas kerosakan masyarakat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapat banyak gerakan anti arak di seluruh dunia yang menjalankan kempen membanteras ketagihan arak.
Sumber: Sinar Harian