BEKAS Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Mohamad Taufik Abas mendedahkan sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak wujud dalam perlembagaan parti tersebut.
Menurutnya perlembagaan parti itu yang disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hanya menyatakan mengenai penubuhan sayap pemuda, wanita dan srikandi tanpa menyebut secara khusus pembentukan Armada.
"Armada telah memperdaya semua ahli parti terutamanya anak-anak muda dan saya hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku.
"Ini adalah scam. Mereka memberi kami semangat untuk bekerja sedangkan ia tidak wujud," katanya kepada pemberita selepas membuat aduan berhubung perkara tersebut di ibu pejabat RoS, semalam.
Beliau yang hadir bersama dua lagi bekas Exco Armada, Muhammad Syazwan Ahmad dan Wahazir Abd Wahabi, menyerahkan beberapa dokumen kepada RoS termasuk surat aduan, beberapa laporan polis yang telah dibuat berhubung perkara itu serta watikah pelantikan mereka sebagai Exco.
Mohamad Taufik berkata beliau hanya menyedari perkara itu selepas membuat semakan terhadap perlembagaan parti susulan pemecatannya sebagai Exco oleh Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
"Saya membuat semakan kerana dipecat tanpa melalui lembaga disiplin mengikut perlembagaan parti, rupa-rupanya peraturan yang ditunjukkan selama ini tipu dan Armada itu sendiri tidak wujud," jelasnya.
Dalam pada itu, kemunculan Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin dan beberapa Exco sayap PPBM itu, membuatkan suasana sidang media bertukar tegang seketika.
Ulya Aqamah berkata pindaan perlembagaan parti itu telah dihantar kepada RoS dan penubuhan Armada hanya perlu dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM tanpa melalui RoS.
Bagaimanapun, Mohamad Taufik berkata pindaan perlembagaan parti tidak boleh dibuat tanpa melalui mesyuarat agung.
- Bernama