ASUM Mesyuarat Sabtu Ini


KANGAR - Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) akan bermesyuarat pada Sabtu ini bagi membincangkan dua isu yang sedang melanda kesatuan itu.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata mesyuarat itu akan membincangkan mengenai kegagalan ujian doping pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan kes rogol membabitkan atlet terjun negara.

Katanya, ASUM akan meneliti dua perkara itu dengan tenang bagi memastikan ia diselesaikan dan tidak perlu tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan.

"Mengenai nasib atlet yang gagal ujian doping tempoh hari, sama ada ia digantung atau tidak kita belum membuat sebarang keputusan.

"Kita tidak boleh mengenakan sebarang hukuman terhadap atlet terbabit kerana perlu menunggu keputusan sampel B yang akan dikeluarkan oleh Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CDERT) bersama Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), di Hotel Putra Regency di sini malam ini.

Mengenai kes jurulatih pasukan renang kebangsaan dipercayai merogol seorang atlet, Shahidan berkata, ASUM menyerahkannya kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk membuat kenyataan.

"Menteri (Khairy) yang akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Sebelum ini, beliau juga yang memberikan kenyataan dan kita akan bersama dengannya," katanya.

Sumber: BH Online