Australia Mohon Maaf Gagal Kesan MH370


SYDNEY – Pihak berkuasa Australia memohon maaf kerana gagal menemukan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 malah menegaskan misteri kehilangan pesawat berkenaan yang tiada penghujung itu tidak boleh diterima.

Melalui laporan akhir tentang kegagalan pencarian pesawat ter­sebut, Biro Keselamatan Pe­ngangkutan Australia (ATSB) memaklumkan, punca kehilangan pesawat itu tidak boleh dibuktikan sehingga pesawat ditemukan.

“Mustahil dan sukar diterima dalam era penerbangan moden ini tentang kehilangan pesawat komersial yang besar dan pada masa yang sama dunia tidak tahu secara jelas apa yang terjadi terhadap pesawat ini dan kesemua penumpangnya,” jelas biro berke­naan.

Kehilangan pesawat Boeing 777 membawa 239 penumpang pada 8 Mac 2014 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China itu merupakan misteri penerbangan terbesar dunia.

Difahamkan pesawat berke­naan dilencongkan beribu-ribu kilometer daripada laluan asalnya ke Lautan Hindi sebelum terhempas di luar pantai barat Australia.

Australia yang mengetuai pencarian pesawat itu di laut dalam, Malaysia dan China menamatkan pencarian bernilai AS$160 juta (RM677 juta) pada Januari lalu selepas gagal menemukan sebarang kesan walaupun menerima bantahan daripada keluarga mangsa.

Agensi saintifik utama negara ini juga memaklumkan pada Ogos lalu bahawa pihaknya percaya ‘ketepatan dan kepastian yang belum pernah berlaku’ bahawa pesawat itu terhempas di timur laut zon pencarian.

Namun penemuan itu ditolak oleh kerajaan Australia kerana tidak spesifik dan pencarian itu tidak diteruskan.

Laporan ATSB itu yang dide­dah­kan hari ini memperincikan kegagalan pencarian selama 1,046 hari, di permukaan dan dalam Lautan Hindi, analisis saintifik dan gambar satelit, arus laut dan penemuan teritip pada serpihan sebuah pesawat di Pulau Re­union.

“Pemahaman tentang kemung­kinan lokasi MH370 ini semakin baik berbanding sebelum ini. Pencarian laut dalam telah mencakupi kawasan berkemungkinan tinggi.

“Kami memohon maaf kerana tidak dapat mengesan pesawat itu mahupun 239 mangsa yang masih hilang,” kata ATSB. – REUTERS