#Bajet 2018: ATM Diperuntuk RM14 Bilion, Beli Aset Baharu Untuk Tingkat Keselamatan


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) bakal memperoleh aset-aset baharu menerusi pengumuman Bajet 2018 di bawah agenda Kesiapsiagaan Aset, Keselamatan dan Latihan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perolehan aset itu membabitkan ketiga-tiga cabang pertahanan negara iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.

"Antara aset itu termasuklah enam buah helikopter tempur, 10 buah kapal perang dan operasi serta empat buah pesawat pengawal maritim," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Task-Force Agenda Pendidikan Sembrong (TAPS), di Paloh di sini hari ini

Dalam pembentangan Bajet 2018 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu kerajaan akan mempertingkatkan keselamatan sempadan dan  ketenteraman awam dengan memperuntukkan lebih RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir RM9 bilion  untuk Polis Diraja Malaysia dan lebih RM900 juta kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, program utama yang akan dilaksanakan merangkumi, RM3 bilion untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan, RM720 juta bagi pembinaan 11 ibu pejabat dan enam balai polis serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi.

Manakala RM170 juta  untuk menaik taraf peralatan ICT termasuk sistem 1PDRMnet, serta RM100 juta bagi menaik taraf sistem komunikasi.

Bagi menjaga kebajikan anggota polis, 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM atau PPA1M-PDRM akan dibina, yang harganya sesuai dengan tangga gaji anggota polis.

Dalam pada itu, RM490 juta APMM untuk baik pulih dan selenggara kapal serta bot, menaik taraf jeti dan juga pembelian tiga kapal peronda.

RM250 juta ringgit kepada ESSCOM bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak, termasuk RM50 juta untuk pembinaan 'radar pengawasan pantai.

Sementara itu sebanyak RM50 juta diperuntukkan  bagi meningkatkan keupayaan aset persenjataan pasukan gerak khas menangani kegiatan anti-keganasan.

Peranan RELA membantu masyarakat selama ini,juga diberi perhatian apabila peruntukan yang paling tinggi, iaitu hampir RM250 juta ringgit bagi kelengkapan keperluan, termasuk pakaian seragam.

Dalam menjaga kebajikan para tentera, kata Perdana Menteri kerajaan menyediakan blueprint Perumahan Keluarga Angkatan Tentera untuk membina lebih 4 ribu unit secara berfasa, menjelang tahun 2030.

Bagi 2018, sebanyak hampir 6,000 unit akan dibina.

Selain itu RM40 juta diperuntuk bagi menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran angkatan tentera.

Pada ucapan bajet itu Perdana  mengajak semua Ahli Parlimen memberikan setinggi penghargaan dan tepukan kepada semua anggota keselamatan yang telah berkorban jiwa dan raga demi menjaga keamanan serta kedaulatan pertiwi tercinta ini. - Kedahnews.com