Bajet 2018 Berjaya Tangani Lebih 80 Peratus Kebimbangan Rakyat


BAJET 2018 berjaya menangani lebih 80 peratus kebimbangan rakyat, termasuk kos hidup, kos menjalankan perniagaan, tabung pendidikan serta rumah mampu milik, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Ketua pasukan Bajet 2018 MoF, Mohd Hassan Ahmad, berkata semua kebimbangan dikumpul, sebahagian besarnya daripada saluran media sosial kerajaan, selain yang disalurkan dalam akaun twitter Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


"Kerajaan mendengar keluhan rakyat, dan cuba menangani keemua masalah yang dihadapi rakyat Malaysia. Jika diteliti, jumlah peruntukan yang disediakan dalam Bajet 2018 merupakan jumlah yang paling terbesar pernah diberikan berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya kepada media selepas taklimat khas Bajet 2018 di sini hari ini.

Beliau berkata Bajet 2018 yang dibentangkan Jumaat lepas merupakan ibu segala bajet, berdasarkan habuan yang disediakan untuk semua, daripada bayi sehingga orang dewasa.

Bertema 'Memakmurkan Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat Menunju Aspirasi #TN50', Bajet 2018 membabitkan peruntukan RM280.25 bilion, meningkat RM19.45 bilion berbanding RM260.80 bilion dalam Bajet 2017. 

-Bernama