Bajet 2018 Fokus Kebajikan Rakyat, BR1M Mungkin Ditambah RM150?


ALOR SETAR - Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa menaruh keyakinan Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober ini mengandungi beberapa tambahan perkara baik untuk rakyat.

"Datuk Seri Najib sangat terperinci terhadap perkara yang menyentuh perkara asas bagi rakyat, (dan) memahami itu, saya boleh meramalkan beliau akan menambah lagi perkara membantu ke arah kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel program Dialog Perjuangan 4 All di sini malam tadi.

Antara anggota panel yang turut terlibat ialah anggota Majlis Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.

Annuar berkata situasi yang boleh mengukuhkan lagi ramalannya itu adalah setiap kali ada perjumpaan dengan Majlis Tertinggi UMNO mahupun barisan Kabinet menteri, Najib yang juga Menteri Kewangan sering meminta mereka memberikan syor terbaik yang boleh dilakukan demi kebaikan rakyat.

Sementara itu ahli-ahli ekonomi menjangka Bajet 2018 bersifat mesra rakyat dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mungkin ditambah RM150 daripada paras sekarang iaitu RM1,200 dan RM900 kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menurut Ahli Ekonomi, M. Manokaran, unjuran mengenai BR1M itu merupakan satu daripada lima perkara yang dijangka dijadikan tumpuan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2018 akhir bulan ini.

Empat lagi perkara itu ialah bonus kepada penjawat awam dan pesara, skim pekerjaan graduan, lebih banyak inisiatif rumah mampu milik dan pelaksanaan subsidi petrol untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40). 

Memetik laporan Utusan Malaysia, Manokaran yang merupakan Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank berkata, pemberian BR1M itu diunjur memberi manfaat kepada golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

“Kami menganggarkan ke­ra­jaan bakal meningkatkan pem­berian BR1M sebanyak RM150 kepada semua golongan masyarakat dengan anggaran perbelanjaan bantuan berkenaan naik RM700 juta kepada RM7.5 bilion pada 2018,’’ katanya dalam nota kajian Bajet 2018 semalam. - Kedahnews.com