Bajet 2018: Lebih 7 Juta Penerima BR1M Teruja Menanti Ucapan PM


LEBIH tujuh juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menanti penuh debaran pada 27 Oktober ini.

Apakah ada tambahan BR1M pada tahun hadapan? 

Bagaimanapun Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat menantikan ucapan beliau pada pembentangan Bajet 2018  pada 27 Oktober ini. 

Menurut Najib setakat ini  seramai tujuh juta rakyat negara ini telah mendapat manfaat daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2017 lalu.

Perdana Menteri berkata, bantuan berkenaan tentunya dapat membantu penerima yang berkelayakan dalam menangani kos sara hidup.

Justeru, kata beliau, rakyat diminta menantikan ucapan pembentangan Bajet 2018 ini yang dijangka melibatkan peruntukan-peruntukan berkaitan yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Tujuh juta orang terima BR1M bagi kitaran #Bajet2017, sekali gus dapat bantu menangani kos sara hidup. Nantikan ucapan #Bajet2018 saya pada 27 Oktober depan,” katanya menerusi Twitter beliau, semalam.

Pada pembentangan bajet tahun lalu, kerajaan menaik­kan kadar BR1M meliputi semua empat golongan pe­nerima, melibatkan tujuh juta pengguna dengan peruntukan berjumlah RM6.8 bilion.
Bagi kategori isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000, kadar BR1M dinaik­kan daripada RM1,050 dan RM1,000 kepada RM1,200.

Sementara BR1M kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 pula dinaikkan daripada RM800 kepada RM900, manakala bagi individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000, kadarnya dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

Pada perhimpunan parti pembangkang anjuran DAP dan sekutunya di Petaling Jaya malam kelmarin, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng 'berjanji' BR1M akan diteruskan walaupun dianggap 'rasuah dan haram' oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad. - Kedahnews.com