#Bajet 2018: Lee Lam Thye Sokong Penuh Hampir RM24 Bilion Peruntukan Keselamatan


Peruntukan RM720 juta bagi membina 11 ibu pejabat dan enam balai polis baharu di samping pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi bakal menyaksikan kehadiran polis (omnipresence) lebih terasa dalam membanteras jenayah sekali gus membangkitkan keyakinan orang ramai.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye sehubungan itu mengalu-alukan pengumuman peruntukan tersebut dalam pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat, petang semalam.

Beliau bagaimanapun mengharapkan peruntukan untuk membaiki kemudahan sedia ada termasuk balai dan kuarters polis yang berada dalam keadaan uzur turut disediakan.

"Kerajaan perlu memastikan persekitaran kerja yang baik bukan sahaja untuk anggota polis bertugas tetapi juga bagi keselesaan orang ramai yang berurusan dengan mereka," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pembentang bajet semalam.


Lam Thye berpendapat keluarga anggota keselamatan sepatutnya mendapat kediaman yang selesa namun beliau difahamkan ada sesetengah anggota polis terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki kuarters yang mereka duduki sekarang.

Secara keseluruhan, beliau menyokong penuh usaha kerajaan untuk mempertingkatkan keselamatan sempadan dan ketenteraman awam dengan memperuntukkan lebih RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hampir RM9 bilion untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lebih RM900 juta kepada Agensi Pertahanan Maritim Malaysia (Maritim).

"Pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan bakal memperkukuhkan sempadan negara terutamanya di Sabah daripada pencerobohon termasuk oleh kumpulan pengganas antarabangsa seperti IS dan Daesh serta pejuang pemisah negara-negara jiran," katanya.

Dalam pada itu, langkah kerajaan memperuntukkan  RM170 juta untuk menaik taraf peralatan ICT termasuk sistem 1PDRMnet, serta RM100 juta bagi menaik taraf sistem  komunikasi juga bakal meningkatkan keberkesanan pasukan penguat kuasa tersebut termasuk mengekang ancaman ideologi ekstremisme seperti IS dan Daesh.

Peruntukan itu juga, tambahnya, akan melengkapi penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi sebelum ini.

"Sokongan kewangan sebegini amat diperlukan oleh agensi keselamatan dan penguatkuasa undang-undang kerana mereka perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan aset bagi menghadapi cabaran baru dalam dunia tanpa sempadan," katanya.

Sumber - Utusan