PENDUDUK luar bandar dijangka menerima berita gembira pada Bajet 2018 yang akan dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hujung bulan ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau sudah mengusulkan beberapa perkara kepada Perdana Menteri, namun enggan mendedahkannya.
Beliau percaya pembentangan belanjawan negara kali ini menjanjikan sesuatu yang positif kepada rakyat.
"Saya percaya pembentangan bajet kali ini bagus sama ada untuk orang kampung, penoreh getah dan rakyat secara keseluruhannya.
"Macam-macam kita minta. Ibarat seperti minta pada wakil rakyat, kita minta maksimum. Harap macam-macam jugalah yang Perdana Menteri luluskan," katanya pada sidang media Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) Ke-16 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini,semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai permintaan serta harapan kementeriannya dalam Bajet 2018.
Ismail Sabri turut menafikan Bajet 2018 adalah 'bajet pilihan raya', sebaliknya sama seperti pembentangan tahun sebelumnya yang bergantung pada pendapatan negara.
"Saya tak kata ini bajet pilihan raya. Setiap tahun kerajaan bentangkan bajet berasaskan rakyat dan begitu juga tahun ini," katanya.
Sumber: BH