#Bajet2018: Kesihatan Rakyat Tetap Diutamakan Walau Diperlekeh Pembangkang


Di sebalik 'perlecehan' parti pembangkang terhadap Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lepas, ramai yang tidak sedar tentang usaha kerajaan mempertingkat taraf kesihatan rakyat.

Pada bajet itu, hampir RM27 bilion untuk sektor itu termasuk menyediakan bekalan ubatan sebanyak RM2.5 bilion dan RM1.6 bilion untuk barangan penggunaan dan sokongan perubatan.

Antara contoh keprihatinan kerajaan ialah untuk pesakit buah pinggang yang mana mereka hanya perlu membayar RM10 bagi setiap sesi rawatan dialisis sedangkan kos keseluruhannya ialah RM110.

Kerajaan akan menanggung subsidi RM100 bagi setiap sesi rawatan dan keseluruhan RM50 juta diperuntukkan untuk rawatan haemodialisis sahaja.

Sementara itu  RM40 juta ringgit lagi diperuntukkan bagi Tabung Bantuan Perubatan, khusus untuk golongan kurang berkemampuan.

Selepas Bajet 2018 diumum, ada pemimpin pembangkang menganggap bajet kali ini hanya sekadar indah untuk didengar dan ada yang mendakwa bajet itu 'dikitar semula'.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan pula seakan-akan menyindir bajet 2018.  

"Saya bukan bersikap prejudis terhadap bajet yang dibentang, tetapi dalam masa yang sama, bajet juga jangan sekadar menjadi alunan muzik klasik untuk menghibur dan mendodoi pendengar sahaja, tetapi tidak pernah memberi nilai kepuasan yang sebenar dan kekal lama, " kata Nasruddin  yang dipetik daripada Harakahdaily.

Seorang pemimpin muslimat PAS sebelum ini juga meragui Bajet 2018 akan mengabaikan bidang perubatan dan kesihatan rakyat, 

Dalam pembentangan bajet itu, sektor kesihatan rakyat antara yang diberi perhatian utama selain pendidikan dan pertahanan.

Sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi menaiktaraf dan menyelenggara fasiliti kesihatan, peralatan perubatan dan ambulan serta pembinaan dewan bedah secara modular di Hospital Muar, Banting dan Balik Pulau.

Kerajaan juga akan menaik taraf perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, sementara RM100 juta disediakan bagi menaik taraf hospital dan klinik.

RM10 juta  untuk menampung kos perubatan bagi rawatan "rare diseases" yang kian meningkat, dan 30 juta ringgit disediakan bagi program Komuniti Sihat Perkasa Negara ke arah kesedaran terhadap kesan penyakit tidak berjangkit di 10,000 kawasan seluruh negara dan RM50 juta diperuntukkan kepada Voluntary Health Insurance Scheme untuk memperkasa sektor kesihatan.


Dalam kerangka bajet itu kerajaan akan membina hospital dan wad baharu meliputi dua blok wad wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Putrajaya dengan kapasiti 300 katil setiap satu, dengan kos RM1 bilion.

Pusat kanser di Sungai Petani, dengan kos RM500 juta dengan kapasiti 200 buah katil, blok klinik pakar dan wad baharu di Hospital Pulau Pinang berkapasiti 300 buah katil dengan kos RM500 juta selain pusat perkhidmatan perubatan forensik bertaraf antarabangsa di Hospital Kuala Lumpur dengan kos RM380 juta. -Kedahnews.com