#Bajet2018: Pakatan Harapan Tawar Gaji Minimum RM1,500


KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (Harapan) akan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara.

Menerusi inti pati Belanjawan Alternatif Malaysia 2018, Harapan menjelaskan kadar itu sebelum ini telah disokong oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), badan kesatuan sekerja utama di Malaysia.

"Kadar semasa sebanyak RM1,000 untuk Semenanjung Malaysia dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak adalah jauh dari apa yang boleh dianggap sebagai gaji boleh hidup di Malaysia di mana kos sara hidup adalah jauh lebih tinggi.

"Justeru Harapan merasakan bahawa kenaikan gaji minimum ini perlu dilaksanakan," petik kenyataan inti pati Bajet Harapan.

Sementara itu, menyedari hakikat bahawa lonjakan besar dalam gaji minimum dari RM 1,000 hingga RM1,500 sebulan akan menyebabkan beban ke atas majikan dalam jangka masa pendek.

Justeru Harapan mencadangkan agar satu sistem bayar bersama yang akan membahagikan kos peningkatan gaji ini antara kerajaan dengan majikan secara sama rata untuk tempoh tiga tahun.

"Kami menganggarkan dasar ini akan menelan kos di pihak kerajaan Persekutuan kira-kira RM2.5 bilion setahun.

"Memandangkan terdapat kira-kira 360,000 pekerja yang kini memperoleh gaji minimum RM1,000," petik kenyataan itu lagi.

Sumber: Sinar Harian