Baju 50 Sen Sehelai Di Kubang Pasu Jadi Tarikan


ALOR SETAR - Harga pakaian wanita yang dijual serendah 50 sen sehelai menjadi tarikan utama pengunjung ke Bazar Jualan Amal Garaj dan Bonet Kereta Badan Kebajikan Pejabat Daerah Kubang Pasu (PDKP), di sini, semalam.

Menurut Setiausaha Badan Kebajikan dan Rekreasi PDKP Mohd Helmey Saad, program pertama kali dianjurkan pihaknya ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Lebih 20 gerai dibuka menjual pelbagai barangan seperti pakaian, barang permainan, buku dan peralatan rumah pada harga 50 sen hingga RM5.

“Hasil jualan disalurkan bagi tujuan amal dan aktiviti kebajikan dianjurkan Badan Kebajikan PDPK,” katanya yang dipetik dari MyMetro.

Tambah Mohd Helmey, berdasarkan sambutan yang diterima, program ini bakal diteruskan pada masa depan.- Kedahnews.com