Banyakkan Taska Di Tempat Kerja Elak Kerisauan Ibu Bapa


KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor semalam, menyarankan golongan majikan terutama pihak swasta menyediakan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak atau taska di tempat kerja.

Ketika membuat saranan itu, Rosmah berkata, ia bagi memberi peluang kepada ibu yang mempunyai kerjaya untuk memberi tumpuan terhadap tugas masing-masing apabila mengetahui dan yakin anak-anak mereka dijaga dengan baik.

“Bakti (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri) sering menyuarakan isu penyediaan taska di tempat kerja. Saya faham isu ini kerana saya sendiri dulu pernah jadi ibu yang bekerja.

Sebagai ibu, kita sering risau dengan keadaan anak terutama apabila anak tak sihat, jadi kalau ada taska di tempat kerja, ibu-ibu boleh lebih fokus dan dapat bekerja dengan lebih tenang,” katanya selepas mendengar ceramah Maal Hijrah anjuran Bakti sempena Awal Muharam 1439 Hijrah di Bangunan Bakti Siti Hasmah, di sini.

Yang Dipertua Bakti ini berkata, beliau pernah menyuarakan perkara itu kepada suaminya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju  berikutan golongan wanita banyak menyumbang kepada ekonomi negara.

“Penting untuk sediakan suasana kerja tenang, mereka boleh beri sepenuh perhatian kepada kerja dan boleh jenguk anak-anak,” katanya.

Sumber: Berita Harian