Baru 4 Hari Keluar Pawagam, Tombiruo Kutip RM2 Juta


KUALA LUMPUR - Filem Tombiruo: Penunggu Rimba sudah mengutip RM2 juta sepanjang empat hari tayangan di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

Filem bergenre aksi drama dan adaptasi karya novelis Ramlee Awang Murshid itu turut menyaksikan filem itu berada di tangga kedua untuk carta filem Golden Screen Cinemas (GSC).

Ia sekali gus mengetepikan filem luar negara seperti The Foreigner, Blade Runner 2049 dan Kingsman: The Golden Circle.

Dalam pada itu, Ramlee sebagai penulis novel tersebut berbangga dengan kutipan yang diterima filem itu apatah lagi dengan kutipan industri tempatan yang agak tidak menentu.

“Risau memang ada, tetapi melihat kepada kutipan setakat ini, Tombiruo nampaknya mendapat sambutan yang baik.

“Saya harap dengan kehadiran cuti sekolah dan cuti umum esok akan menarik lebih ramai lagi penonton ke panggung untuk menonton filem tempatan,” jelasnya.

“Tombiruo: Penunggu Rimba” memaparkan kisah Ejim digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. 

Lelaki yang sentiasa bertopeng ini disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia. Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam. 

Pelakon yang terlibat dalam filem arahan Seth Larney bersama pengarah bersekutu Nasir Jani, ini ialah Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Hasnul Rahmat.

Sumber: Utusan Online