Bas Terbalik Selepas Langgar Pembahagi Jalan


KOTA TINGGI - Seorang pemandu bas ekspres cedera selepas gagal mengawal kenderaan itu sehingga terbalik dan menyebabkan dua penumpang mengalami nasib sama di Kilometer 28, Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, bas ekspres Maraliner itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu bas, Zulkahar Tukiman, 37, dari arah Mersing hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

“Bas itu terbalik di tengah pembahagi jalan dan ketika kejadian pemandu terbabit membawa 45 penumpang dan pembantu pemandu yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, pemandu serta dua penumpang yang cedera dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, manakala 43 penumpang lain yang terselamat dihantar menaiki bas lain ke Kuala Lumpur.

Sumber: MyMetro