KOLKATA, India – Beberapa orang doktor di sini tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu menyelamatkan seorang bayi yang dilahirkan dengan kepala leper dan mempunyai kantung di belakang lehernya.
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Babu itu menghidap ensefalosel iaitu kecacatan tiub saraf (NTD) yang memberi kesan kepada otak.
Kedua-dua ibu bapanya, Jyotsna dan Jhontu Das diberitahu bahawa anak lelaki mereka tidak mempunyai harapan untuk hidup lama walaupun Babu kini telah berusia dua bulan.
Mereka kini mengharapkan satu keajaiban kerana percaya Babu boleh ‘hidup selamanya’ walaupun doktor mengingatkan mereka bahawa bayi itu tidak boleh dirawat.
Babu kini menghabiskan masanya di rumah, manakala kedua-dua ibu bapanya mencuba sehabis baik untuk menyelamatkan nyawanya.
“Apabila doktor tidak mampu untuk membantu, adalah lebih baik kami menjaganya mengikut cara kami.
“Kami akan memberi semua keselesaan dan kasih sayang kepada anak kami dengan harapan dia boleh hidup dengan lebih lama,” kata Jyotsna.
Sumber: Kosmo