Bebas Tuduhan, Mat Sabu Mahu Nama Mat Indera Ditulis "Pejuang Kemerdekaan Negara"?


ALOR SETAR - Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu tetap menuntut supaya nama Mohamad Indera atau dikenali sebagai Mat Indera turut diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan dalam lipatan sejarah rasmi di negara ini.

Mohamad berkata, nama Mat Indera wajar ditulis sebaris dengan tokoh-tokoh kemerdekaan lain seperti Dr Burhanuddin Helmy, Ibrahim Yaakob, Datuk Ahmad Boestamam, Abu Bakar Al-Baqir dan ramai lagi.

"Kes sejarah kemerdekaan Malaya kemudian Malaysia yang cuba saya kemukakan bahawa pejuang kemerdekaan bukan hanya diperjuangkan oleh Tunku Abdul Rahman, Dato Onn Jaafar, pemimpin UMNO sahaja.

"Malah saya mengatakan bahawa ia juga diperjuangkan oleh tokoh pejuang masyarakat termasuk juga Dr Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakob, Datuk Ahmad Boestamam, Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi termasuk Mat Indera yang saya sebut pada satu ceramah di Padang Menora Pulau Pinang, enam tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Justeru itu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu juga mahu supaya sejarah kemerdekaan Malaysia ditulis semula supaya nama-nama berkenaan termasuk Mat Indera, dapat dimaktubkan di dalamnya.

Presiden PAN itu difahamkan berkata demikian ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang menggugurkan tuduhan menghina pasukan keselamatan dalam satu ceramah politiknya kira-kira enam tahun lalu.

"Saya berterima kasih dan bersyukur kepada Allah di atas keputusan yang dibuat hakim hari ini. Juga kepada peguam-peguam yang terus membela saya yang diketuai Mohamed Hanipa Maidin, sdra Aminuddin dan Sdra Nassar Khan.

"Pertarungan yang berlangsung enam tahun akhirnya berakhir pagi tadi dengan keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan oleh pendakwa," katanya lagi.

Mat Indera
Menurut fakta sejarah sebelum ini, Mat Indera disahkan salah seorang pemimpin Melayu yang menganggotai pasukan gerila Komunis yang menentang British berdasarkan catatan di dalam buku "Memoir Abdullah C.D. : Zaman Pergerakan Sehingga 1948, Volume 3".

Mat Indera turut dikatakan menjadi ahli Parti Komunis Malaya (PKM) sejak penjajahan Jepun lagi dan terkenal kerana dilaporkan telah memimpin serangan gerila komunis terhadap pihak polis dalam peristiwa berdarah di Bukit Kepong.

Adik Mat Indera, Johan Shah pula sebelum ini mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa dirinya bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong.

Selain disahkan di dalam buku "Memoir Abdullah C.D.", ia juga turut dinukilkan di dalam buku "Dialogues with Chin Peng" yang mana turut mengesahkan bahawa pihak komunis mengetahui kehadiran kanak-kanak dan wanita di balai tersebut.

Tragedi Bukit Kepong yang berlaku pada 23 Februari 1950, melibatkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita telah dijadikan bukti oleh pihak Inggeris sebagai menyokong dakwaan keganasan dan kekejaman komunis di zaman darurat itu.

Difahamkan Mat Indera telah berjaya diberkas pihak berkuasa pada 1952 sebelum dihukum gantung sampai mati pada 1953 di Penjara Taiping dan dikebumikan di Kampung Jambu, di sana. - Kedahnews.com