TUN Dr Mahathir Mohamad masih mempunyai 'hutang' dengan 106 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diberkas dan disumbat ke Kem Kamunting, Perak ketika zaman pemerintahannya.
Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu masih tidak pernah menyesali dengan tindakannya menahan pemimpin politik pembangkang, NGO dan kerajaan demi kepentingan peribadi dalam dunia politik.
Penasihat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Dr Kua Kia Soong, yang ditahan dua kali menerusi ISA, iaitu pada 1987 dan 1996, berkata keputusan Dr Mahathir beralih arah ke pakatan pembangkang adalah hanya bermotifkan dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tindakan Dr Mahathir berbaik dengan musuh politiknya dan menyertai pakatan pembangkang juga disifatkan sekadar sandiwara dan tidak dapat menghapuskan kesalahan lampaunya sepanjang 22 tahun jadi Perdana Menteri.
Selepas terpalit dengan skandal kewangan dan amalan kronisme menerusi kepemimpinan 'kuku besi', bekas Perdana Menteri itu sebenanrya masih mempunyai 'hutang' dengan 106 tahanan ISA yang diberkas ketika zaman pemerintahannya.
Menurut Kia Soong sejak bersara, beliau asyik 'merapu' saja setiap kali orang tanya mengenai Operasi Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987. Justeru, tiada istilah taubat dalam kamus Dr M (Tun Mahathir).
"Selepas 30 tahun, tiba-tiba beliau hanya tahu jawab 'eh, saya tak ingatlah apa yang terjadi'," katanya dalam nada berseloroh ketika menghadiri Forum Awam 'Sisi Cerita Saya' sempena tiga dekad Operasi Lalang, semalam.
Forum anjuran SUARAM di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur itu turut dibarisi tiga pembahas lain yang juga bekas tahanan ISA, iaitu Dr Nasir Hashim; Irene Xavier dan Lim Chin Chin.
Kia Soong berkata, Dr Mahathir tidak layak menggunakan perkataan 'kleptokrasi' ketika berkempen untuk meraih undi kerana pengerusi pakatan pembangkang itu disifatkan 'kepala lanun' selama 22 tahun menerajui negara.
"Beliau sudah 'sapu licin' Malaysia sampai kering, kemudian sibuk menuduh orang lain sebagai pemimpin yang mengamalkan 'kleptokrasi'," katanya sepertimana yang dipetik daripada Berita Harian.
Sementara itu, Irene yang juga bekas tahanan ISA pada 1987 mendedahkan dirinya dipukul oleh pegawai penyiasat kerana didakwa menipu ketika memberikan pengakuan.
Beliau berkata, tindakan agresif itu dilakukan ketika berada di kem tahanan Kamunting kerana didakwa mempunyai kepercayaan komunis yang menebal.
"Sehingga kini saya dibelenggu kisah silam sepanjang berada dalam tahanan ISA, malah sukar untuk gambarkan apa yang dilalui selama 60 hari itu," katanya.
Hashim yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula berkata, penahanannya menerusi ISA adalah mangsa manipulasi politik yang didalangi Dr Mahathir.
Katanya, keadaan sel tahanan berasingan di kem Kamunting direka untuk menyeksa banduan, berbanding melaksanakan program pemuliharaan.
"Dalam sel tahanan tiada langsung lubang pengaliran udara sampai saya rasa sesak nafas. Itu betapa teruknya keadaan di sana (Kamunting)," katanya.
Chin Chin yang turut berkongsi kisahnya ketika menjadi tahanan ISA, berkata peluang untuk bertemu dengan keluarga hanya sekali, malah berlangsung untuk tempoh 10 minit.
Pertemuan itu, katanya, seolah-olah hanya peluang untuk mengucapkan 'hello' dan 'bye' kepada ahli keluarga yang datang menziarah, sebelum diarahkan kembali ke sel tahanan.
"Pada mulanya saya ditahan 60 hari sebelum Dr Mahathir lanjutkan tempohnya kepada tiga tahun. Semua 106 mangsa ISA ketika itu ibarat 'gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah'," katanya.
Antara pemimpin lain yang pernah ditahan di bawah ISA ialah Setiausaha Agung DAO ketika itu Lim Kit Siang, Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ketua Menteri Melaka, Lim Guan Eng, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Presiden PAN, Mohamad Sabu (Mat Sabu), Ketua Pemuda PAS, Halim Arshat selain beberapa pemimpin UMNO termasuk Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Fahmi Ibrahim.
Selain itu beberapa pemimpin MCA, Gerakan serta NGO juga ditahan dalam operasi itu.
Mat Sabu yang kini mungkin telah memaafkan Dr. Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu yang kini mengetuai Pakatan Harapan, semasa berucap di Alor Setar 20 Oktober lepas menceritakan dia juga turut 'meragas dinding' semasa semasa berada di Kemaunting.
Dr. Mahathir semasa pentadbiran dilihat 'mencipta isu dan cuba menyelesaikan isu' dengan mengheret orang lain demi kuasa politiknya. - Kedahnews.com