Belajar Ikut Kaedah Pembelajaran Abad Ke -21


ALOR SETAR - Kerajaan akan melaksanakan kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-) sejajar dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dijangka bakal mengumumkan peruntukan menerusi Bajet 2018 pada 27 Oktober ini.

Perlaksanaan kaedah telah pun dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada 14 Oktober lalu dan dijangka diperluaskan ke seluruh negara antara lima hingga 10 tahun lagi. 

Menurut Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, kementerian bukan saja mahu sekolah di bandar mengadaptasi kaedah ini bahkan sekolah di luar bandar juga merasai kaedah pembelajaran tersebut.

“Bagaimanapun, ketika ini pengubahsuaian kelas di sekolah bagi melaksanakan PAK-21 belum dilakukan secara menyeluruh, sebaliknya membabitkan dua atau tiga kelas saja di setiap sekolah,” ujarnya yang dipetik dari MyMetro.

Tambah beliau, apabila PAK-21 diterapkan di seluruh sekolah di negara ini suasana pembelajaran di kelas menjadi lebih interaktif apabila murid atau pelajar dapat berinteraksi menggunakan kecanggihan teknologi terkini.

“Setiap kelas PAK-21 akan mempunyai papan pintar atau smatboard menggantikan papan hitam atau putih dalam sesi pengajaran konvensional.

“Guru menjadi moderator terhadap topik pelajaran yang diajarkan manakala murid menggunakan gajet sebagai alat komunikasi terhadap pengajaran yang diajarkan.

“Papan pintar itu boleh digunakan untuk melakukan carian di Google terhadap topik yang diajarkan seperti geografi dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santai Veteran UMNO Bahagian Padang Terap di Kampung Kubang Bemban, semalam.

Terdahulu, cadangan Kementerian Pendidikan pada peruntukan Bajet 2018 adalah berkemungkinan untuk mewujudkan 2,000 kelas PAK-21 di seluruh negara namun begitu ia masih di peringkat permulaan. -Kedahnews.com