Belum Fikir Letak Jawatan – Vingada


KUALA LUMPUR - Nelo Vingada menepis kemungkinan dia akan meletak jawatan walaupun gagal menamatkan badi kemenangan skuad Harimau Malaya yang masih belum menang selepas lima perlawanan sejak dia membimbing pasukan itu.

Pengurus dari Portugal itu mula membimbing Harimau Malaya pada Mei lalu, menggantikan Datuk Ong Kim Swee, dan sejak itu telah menyaksikan pasukannya masih buntu dalam mencari kemenangan pertama dengan terbaharu kalah 0-2 kepada Hong Kong dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 malam kelmarin.

Sentuhan ‘magis’ yang diharapkan daripada Vingada masih belum muncul dalam lima perlawanan antarabangsa yang telah dilalui Harimau Malaya, termasuk tiga perlawanan dalam pusingan kelayakan Kumpulan B Piala Asia selain serta dua perlawanan persahabatan.

Malaysia kalah kepada Lebanon d Johor Bahru dalam perlawanan pertama Kumpulan B, seri 1-1 dengan Hong Kong di Melaka dan malam tadi terus gagal mencari gol di Stadium Hong Kong.

Dalam dua perlawanan persahabatan sebelum kempen kelayakan Piala Asia bermula, Malaysia kalah 1-2 kepada Syria dan 0-1 kepada Myanmar.

“Semua pihak boleh bercakap macam-macam mengenai pasukan atau diri saya sebagai pengurus. Ya, saya tahu perasaan sesetengah peminat yang kecewa melihat pasukan kesayangan mereka tewas, bukan anda (peminat) saja kecewa, saya juga kecewa dengan keputusan ini.

“Peminat tidak boleh mengharapkan keajaiban serta-merta daripada saya dan pemain yang ketika ini sedang melalui proses pembaikan, apabila lebih ramai pemain muda diberi peluang. Saya tidak akan berputus asa.

“Untuk memikirkan soal meninggalkan pasukan, sudah semestinya jauh sekali. Tugas saya belum selesai dan saya optimis kami akan tampil lebih mantap menjelang saingan Piala AFF penghujung tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Kekalahan kepada Hong Kong bermakna Malaysia kekal di anak tangga tercorot kumpulan, dengan satu mata dan berdepan tugas lebih sukar apabila melawat Lebanon kelak, selain dua pertemuan dengan Korea Utara nanti.

Mengulas mengenai insiden yang menyebabkan Safiq Rahim dibuang padang pada babak pertama, Vingada berkata tidak mahu menjadikan kekasaran dilakukan ketua pasukan itu sebagai faktor kekalahan skuadnya.

Dia juga akur dengan keputusan pengadil perlawanan Nivoon Robesh Gamini yang mengambil tindakan tegas itu ke atas Safiq.

“Pada pandangan saya, Safiq cuba mengawal bola. Safiq bukanlah pemain yang suka membuat terjahan agresif seperti itu,” jelasnya.

Sumber: Utusan Online