PARTI Amanah Negara (PAN) masih belum memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi oleh Presidennya, Mohamad Sabu, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), meskipun ada desas-desus yang mengatakan beliau berkemungkinan menggantikan tempat Khalid Samad di Shah Alam.
Ketika ditanya pemberita pada sidang medianya, Mohamad atau Mat Sabu berkata, perkara berkenaan masih belum diputuskan.
"Terserah kepada jawatankuasa (pilihan raya parti), mungkin sama ada di Kedah, Selangor.. mungkin di Pulau Pinang," katanya ringkas.
Setiausaha Agung PAN , Anuar Tahir pula menambah buat masa ini Mat Sabu menerima lebih daripada 10 tawaran untuknya bertanding di kerusi Parlimen.
Terdahulu timbul ura-ura bahawa Khalid mungkin bertanding di Johor pada PRU14 selepas Timbalan Presiden PAN Salahuddin Ayub mengesahkan parti tidak menolak langkah itu diambil dalam usaha memuktamadkan beliau bertanding di Johor.
Bagaimanapun Salahuddin berkata, PAN perlu berunding dahulu dengan Pakatan Harapan (PH) kerana kerusi Johor Bahru merupakan milik PKR.
Salahuddin juga turut tidak menolak Mat Sabu akan menjadi calon untuk bertanding di Shah Alam bagi menggantikan Khalid.
Malah sebelum ini Amanah Selangor juga pernah mencadangkan untuk Mat Sabu bertanding di Shah Alam, kerusi yang disandang Khalid sejak 2008.
Khalid yang turut hadir dalam sidang media yang sama berkata, beliau akan bertanding di Parlimen Johor Bahru, hanya sekiranya abang beliau Tan Sri Shahrir Samad tidak mempertahankan kerusi berkenaan.
Khalid berkata, beliau mengelakkan pertembungan bersama Shahrir kerana berpandangan‘tidak manis’ untuk adik-beradik saling berebut kerusi yang sama.
Ujarnya, beliau sedia untuk bertanding di mana-mana kerusi di Johor yang mana parti rasakan sesuai untuknya, sekalipun dirinya sudah selesa di Shah Alam.
Menurutnya lagi, sama ada beliau mampu menyumbang kepada kebangkitan PH di Johor, semua perkara berkenaan sedang dikaji parti sebelum memuktamadkan kerusi yang akan ditandinginya.
Sebelum ini pemimpin pembangkang terutama ini DAP dan PKR dibidas kerana
gemar berpindah- randah untuk bertanding dalam PRU.
Tindakan itu membuktikan mereka bukan hendak berkhidmat kepada rakyat setempat sebaliknya hanya kepentingan diri. - Kedahnews.com
Sebelum ini pemimpin pembangkang terutama ini DAP dan PKR dibidas kerana
gemar berpindah- randah untuk bertanding dalam PRU.
Tindakan itu membuktikan mereka bukan hendak berkhidmat kepada rakyat setempat sebaliknya hanya kepentingan diri. - Kedahnews.com