SEREMBAN - “Kami jiran pun takut dengan mereka (anak dan ibu). Kadangkala ibu pelajar itu bertindak di luar kawalan,” kata seorang jiran yang mengenali keluarga remaja perempuan yang bertindak membuang air besar di sebuah dobi di Lobak, di sini, sehingga menjadi tular di laman sosial, kelmarin.
Terdahulu, Sinar Harian membuat tinjauan di kawasan tempat tinggal remaja berkenaan di Rasah Jaya, di sini, bagaimanapun rumah berkenaan tidak berpenghuni dan dipercayai remaja perempuan itu dan ibunya sudah keluar rumah pada kira-kira 7 pagi dan dikatakan akan pulang semula pada sebelah malam.
Jiran yang enggan dikenali berkata, keluarga itu tinggal di taman perumahan ini kira-kira 20 tahun lalu.
“Kami tahu bagaimana sikap mereka. Ada kalanya ibu pelajar berkenaan bertindak di luar kawalan.
“Kami syak kedua beranak itu mengalami masalah mental ditambah pula dengan tindakan anak perempuannya yang selamba buang air besar di sebuah kedai dobi di Lobak,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai dobi berkenaan, Datuk Adzwan Ab Manas, 42, berkata, dia mahu tindakan diambil terhadap dua beranak itu selepas laporan polis dibuat, kelmarin.
Katanya, jika orang ramai termasuk netizen mengatakan dua beranak itu mengalami masalah mental dan orang kelainan upaya (OKU), remaja berkenaan tidak akan ke sekolah dan mereka tidak akan tahu di mana rumahnya.
“Tindakan dilakukan mereka itu hanya disebabkan kurangnya kesedaran sivik,” katanya yang telah membuka kedai dobi 24 jam berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Dalam pada itu, Adun Mambau, Yap Yew Weng menjejaki dua beranak itu di rumahnya.
Menurutnya, pihaknya akan cuba mencari keluarga berkenaan bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan terutamanya dari segi kaunseling.
“Hari ini (semalam), kita cuba berkunjung di rumah keluarga berkenaan, malangnya tidak berpeluang berjumpa dengan mereka. Mungkin akan datang semula selepas ini,” katanya.
Kelmarin, tindakan seorang remaja perempuan yang dirakam membuang air besar di sebuah kedai dobi berkenaan sehinga menjadi tular di laman sosial.
Kejadian pelik itu dipercayai berlaku pada tengah hari Selasa ketika kebetulan tiada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan cucian pakaian secara layan diri tersebut.
Sumber: Sinar Harian