Bergurau Hingga Ruas Jari Manis Putus


IPOH – Gara-gara bergurau, seorang pelajar tingkatan dua mengalami kecacatan kekal selepas jari manisnya putus akibat tersepit pada celah pintu di bilik kelasnya, bulan lalu.

Mohamad Farid Izwan Nor Azizul Hamdan, 14, kini masih menjalani rawatan selepas pembedahan menyambung ruas jari manis tangan kirinya itu gagal.

Kejadian itu berlaku pada waktu rehat kira-kira jam 4 petang dan difahamkan salah seorang rakan sekelasnya telah menghempas pintu menyebabkan jari mangsa tersepit.

Keadaan itu menyebabkan jari mangsa terputus dan pihak sekolah membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebelum memaklumkan kepada ahli keluarganya.

Ibu mangsa, Zalina Ibrahim, 50, berkata, pihaknya memutuskan untuk menyambung semula jari anaknya itu walaupun dimaklumkan pembedahan itu hanya 50 peratus berjaya.

“Mulanya penyambungan itu berjaya, anak saya terus menjalani dressing pada bahagian pembedahan itu sampailah Isnin lalu, doktor pakar beri dua pilihan sama ada buang atau bahagian itu bakal mempunyai jangkitan lain.

“Susah nak buat keputusan bila memikirkan keadaan jari dan mental anak saya. Tapi saya memutuskan untuk buang saja sebab bimbang keselamatannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pada awalnya anaknya mengalami trauma selepas melihat keadaan jarinya itu malah turut fobia apabila melalui pintu rumah.

“Saya sentiasa beri sokongan kepadanya agar tak terlalu tertekan . Setiap kali kami lalu dekat pintu dia pasti berpesan supaya berhati-hati,” katanya.

Zalina berkata, dia terkilan apabila lambat mendapat respons pihak sekolah selepas pembedahan itu selain tidak dapat menggunakan insurans.

“Difahamkan pelajar mempunyai insurans kemalangan tetapi pihak sekolah memaklumkan insurans itu untuk diwadkan sahaja. Bagaimanapun, saya menanti tindakan seterusnya daripada pihak sekolah.

“Saya juga tidak menerima kehadiran ibu bapa pelajar yang terlibat dalam kejadian anak saya ini. Saya fokus untuk pulihkan semangat dia yang masih lagi trauma,” katanya.

Sumber: Sinar Harian