Bibi Akui Bakat Muda Kelantan Sedang Dirisik


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Ke­lantan (KAFA) mengakui bakat-bakat muda Kelantan sedang dirisik oleh beberapa pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2018.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan bagaimanapun berkata, dia mahu barisan pemain mu­da itu fokus untuk membantu Kelantan mencatat kemenangan ke atas Melaka pada 28 Oktober ini bagi memastikan The Red Warriors (TRW) terus kekal dalam Liga Super musim hadapan.

“Saya minta mereka supaya jangan buat apa-apa keputusan lagi (jika ada terima tawaran dari luar Kelantan).

“Fokus pada perjuangan yang masih belum selesai dengan pasukan Kelantan,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan beberapa tonggak muda TRW sedang diintai oleh pasukan gergasi Liga Super untuk musim 2018.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan beberapa bintang muda Kelantan yang beraksi cemerlang dalam pertandingan Piala Presiden dan pasukan utama TRW musim ini sedang diintai oleh beberapa pa­sukan berstatus gergasi untuk Liga Super 2018.

Sumber dalaman KAFA berkata, rata-rata pemain muda yang sedang diintai itu mempunyai kontrak bersama TRW hingga bulan November ini.

Bibi Ramjani memberitahu, beliau juga sudah mengarahkan Setiausaha Agung KAFA untuk menyemak semua kontrak barisan pemain TRW termasuklah bakat-bakat muda itu.

Bukan itu sahaja, katanya, dia sudah mengadakan pertemuan empat mata dengan beberapa pemain muda untuk menceritakan hal sebenar berkaitan TRW.

“KAFA turut menerangkan hala tuju pasukan Kelantan pada masa hadapan,” ujarnya.

Bibi Ramjani berkata, KAFA seboleh-bolehnya mahu pemain muda ini terus kekal dengan TRW.

Sumber: Utusan Online