BN Popular Di Kalangan Belia 21 Tahun Ke Atas


KUALA LUMPUR- Sejumlah 5.8 juta pengguna Facebook berusia 21 tahun ke atas lebih cenderung terhadap parti Barisan Nasional (BN).

Angka ini menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda daripada 3.1 juta pengguna yang cenderung terhadap parti pembangkang pada Julai lalu, menurut satu kajian perunding penyelidikan media sosial, Politweet.

Kajian yang dibuat oleh Politweet itu menunjukkan kira-kira 51.6 peratus (3.3 juta) daripada 6.4 juta pengguna Facebook di Malaysia berumur 21 tahun ke atas berminat dengan BN, berbanding 9.4 peratus (600,000) yang secara eksklusif cenderung terhadap parti pembangkang.

Sekitar 39.1 peratus (2.5 juta) menyatakan sokongan bercampur antara pihak pembangkang dan BN.

Umno mempunyai bilangan pengguna Facebook berusia 21 tahun ke atas yang paling tinggi di Malaysia yang berminat dengan politik dan menyatakan kepentingannya pada Julai lalu iaitu sebanyak 4.4 juta (68.8 peratus daripada 6.4 juta pengguna), diikuti oleh PKR dengan 1.8 juta pengguna (28.1 peratus), DAP dengan 1.3 juta pengguna (20.3 peratus), PAS;  950,000 pengguna (14.8 peratus), MCA; 740,000 pengguna (11.6 peratus), Gerakan; 150,000 pengguna (2.34 peratus) dan akhirnya, MIC dengan 81,000 pengguna (1.3 peratus ).

Daripada 6.4 juta pengguna Facebook berusia 21 tahun ke atas yang berminat dengan BN atau pembangkang pada Julai lalu, 56.3 peratus ialah lelaki dan 43.8 peratus wanita.

“Pihak pembangkang mula meningkatkan perkongsian ekslusifnya pada Januari 2017, dan mencapai kemuncaknya dengan kecenderungan sebanyak 16.39 peratus pada bulan Mei. Minat terhadap pembangkang menurun sebanyak 7.01 mata dalam 2 bulan terakhir ini manakala kecenderungan terhadap BN meningkat 5.66 mata,” menurut kajian yang bertajuk “Bagaimana kepentingan politik dipisahkan oleh bahasa di Facebook,di Malaysia.”

Kajian itu menjelaskan bahawa ‘kumpulan eksklusif’ merujuk kepada pengguna yang hidup dalam “gelembungan”, yang bermaksud bahawa mereka hanya suka, berkongsi, atau membincangkan kandungan yang berkaitan dengan pihak mereka sahaja.

“Penyokong parti politik yang hanya berdedikasi untuk mempromosikan atau menyerang hanya satu pihak sahaja akan jatuh ke dalam kumpulan ini,” kata kajian itu lagi.

Kumpulan yang mempunyai kecenderungan berbaur pula terdiri daripada pengguna yang berkongsi kandungan yang berkaitan dengan kedua-dua belah ideologi politik.

“Apabila satu kumpulan eksklusif menjadi kumpulan yang dominan, ini memberikan tekanan yang lebih besar kepada kumpulan eksklusif lain untuk ‘merentasi jurang’ dan membawa pengguna ke pihak mereka, atau sekurang-kurangnya menarik minat kumpulan berbaur tersebut. Inilah kesukaran yang sedang dihadapi oleh pembangkang,” kata Politweet.

Menurut kajian itu lagi, pihak pembangkang mempunyai capaian 48.4 peratus daripada jumlah pasaran kepentingan parti politik, yang merangkumi pengguna Facebook yang menyatakan kecenderungan eksklusif digabungkan dengan mereka yang menyatakan minat bercampur. Sebaliknya, BN berjaya mendominasi 90.6 peratus pasaran.

 “Ini bermakna lebih separuh daripada pengundi berpotensi di Facebook yang berminat dalam politik tidak mempunyai minat terhadap apa yang pemimpin dan penyokong pihak pembangkang kongsi dan lakukan (di media),” menurut kajian itu lagi.

Politweet mengukur kecenderungan politik dengan menggabungkan minat menerusi akaun Facebook “(kumpulan data minat, aktiviti, grup, halaman, kemas kini status dan sejarah kerja yang dikenal pasti melalui istilah lazim di Facebook misalnya ‘Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’), nama grup tertentu dan Halaman tertentu seperti Rakan BN)”.

Kecenderungan juga diukur oleh pengguna yang menyebut nama sesuatu pihak dalam kemas kini status, berkongsi pautan berita yang berkaitan dengan pihak tertentu atau berkongsi kandungan daripada halaman milik sesebuah parti politik.

Bagaimanapun, Politweet berkata kecederungan terhadap parti politik tidak menunjukkan sokongan kepada sesebuah parti, tetapi hanya menunjukkan kesedaran.

Sumber - MYNEWSHUB