'BN Tidak Jual Janji Kosong Tapi Kita Laksanakan Keperluan Rakyat' - Najib


ISKANDAR PUTERI  - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah ‘menjual’ janji, mimpi atau harapan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat. 

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak beretorik, sebaliknya menunaikan segala kemahuan, keperluan, kepen­tingan dan tuntutan rakyat dari dahulu hingga kini.

“Kerajaan pimpinan kita hari ini tidak perlu menjual harapan dan tidak perlu menjual janji. Kita sebenarnya sudah melaksanakannya (segala keperluan rakyat).

“Kita tidak memberikan janji, sebaliknya sudah me­laksanakannya dan kita akan laksanakan (pembangunan dan segala keperluan rakyat) lebih banyak lagi,” katanya semasa merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; barisan Exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Selain itu, hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Datuk Abdul Mutalib Alias dan Pengarah Urusan Johor Land Berhad, Lukman Abu Bakar.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan hubungan baik antara kerajaan Pusat dan Johor adalah antara faktor negeri ini melalui tempoh pembangunan yang menakjubkan.

Katanya, kerajaan akan me­laksanakan lebih banyak pembangunan untuk Johor kerana negeri ini bakal menempuh fasa lebih menakjubkan ekoran hubungan baik antara kedua-dua pihak.

“Saya dah tahu pasal kemajuan yang begitu memberangsangkan yang dicapai Johor. Malah, saya pernah mengungkapkan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu Malaysia. Ini satu pengiktirafan jelas yang kadar pertumbuhan, malah nadi pertumbuhan negara datang dari Johor.

“Selain itu, sumbangan menteri dari Johor dan ahli politik lain yang turut bersama-sama dan sudah tentu di bawah naung­an Sultan Johor banyak membantu dalam mendorong pembangunan,” katanya.

Perdana Menteri turut me­ngakui kelainan dan keunikan negeri ini apabila kerajaan ne­geri 
memberikan kuasa perancangan pembangunan kepada Pegawai Daerah dan Majlis Tindakan Daerah.
Penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan juga amat bertepatan kerana memberikan maklumat lebih jelas dan terperinci, sekali gus memperbetulkan tanggapan pihak tertentu yang cuba mengelirukan rakyat, katanya.


Sumber: Utusan