Bola Sepak 7 Sebelah: Kg Bendang Bukit Ketuai 8 Pasukan Ke Grand Final


PENDANG - Melengkapkan saingan Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Piala Datuk Suraya Yaacob ke peringkat Grand Final, sebanyak lapan pasukan berjaya melayakkan diri ke pusingan kemuncak kejohanan yang bakal berlangsung esok.

Pasukan Kampung Bendang Bukit (KBB) yang muncul juara pada pusingan terakhir kejohanan di Kampung Nangka Siam di sini semalam mengetuai senarai lapan pasukan berkenaan.

Pasukan berkenaan membawa pulang hadiah mingguan berupa wang tunai bernilai RM500 dan medal.

Tujuh lagi pasukan anak-anak muda Pendang yang melayakkan diri ke pusingan kemuncak itu adalah pasukan Kampung Bukit Tegor, Frend (Paya Lipai FC), Lubuk Batu, Padu Legend, Sinar Utara, Kikilala dan pasukan Padu.


"Sebanyak 32 pasukan berentap di pusingan terakhir peringkat kumpulan semalam di padang Kampung Nangka Siam. Sengit sungguh dan masing-masing menunjukkan bakat terpendam di padang.

"Pasukan KBB dari Kampung Bendang Bukit muncul juara dan lapan pasukan yang melayakkan diri ke Grand Final akan berentap esok," kata wakil penganjur, Mohd Hamdi Che Me kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Lebih menarik, pusingan terakhir kali ini turut menggamatkan suasana dengan paluan gendang panjang yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Nangka Siam, Ang Tek a/l Thing yang memeriahkan kejohanan semalam.

Turut hadir memeriahkan suasana di kejohanan tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob yang ditemani suaminya, Datuk Zulkifli Ishak.

Menurut Adun Sungai Tiang yang juga merupakan Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, antara tujuan utama penganjuran kejohanan tertutup itu adalah bagi mencungkil bakat-bakat baru di kalangan anak-anak muda Pendang untuk ke peringkat lebih tinggi.

Selain melahirkan potensi-potensi baru anak tempatan, ia juga bertujuan menyatupadukan anak-anak Pendang dalam sebuah program sukan, merapatkan hubungan baik di kalangan mereka di daerah berkenaan.

"Sudah 8 tahun kita anjurkan kejohanan ini. Setiap kali dianjurkan, di situlah anak-anak muda Pendang berkumpul dalam suasana yang meriah. Selain menyediakan aktiviti yang menyatukan mereka, ukhuwah terjalin lebih erat.

"Walaupun program ini hanya melibatkan anak-anak muda di kampung, saya harap ia mampu memberi galakan untuk melahirkan bakat-bakat baru dari kalangan anak muda Pendang ke peringkat yang lebih tinggi.

"Mungkin anak Pendang juga berpotensi wakili negeri Kedah menyarung jersi Piala Presiden, Lang Merah dan mungkin juga mampu terpilih mewakili Harimau Malaya, saya yakin anak Pendang boleh!," katanya kepada Kedahnews.com sebelum ini.

Aksi Grand Final yang bakal berlangsung esok di padang Kampung Paya Lipai menyaksikan sebanyak 24 pasukan yang melayakkan diri dari tiga pusingan akan merebut kejuaraan keseluruhan kejohanan berkenaan.

Juara peringkat Grand Final Piala Datuk Suraya Yaacob bakal membawa pulang Piala Kejuaraan Kejohanan, wang tunai berjumlah RM2,000, jersi bola sepak berserta medal, manakala naib juara pula membawa pulang hadiah Piala Kejohanan, wang tunai RM1,200, jersi dan medal.

Tempat ketiga dan keempat turut membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500, jersi bola sepak dan medal kejohanan.

Pusingan Grand Final bakal berlangsung Jumaat ini (esok), 20 Oktober, bertempat di padang KEDA, di Kampung Paya Lipai, di sini. - Kedahnews.com