Bot Bawa Tujuh Pemancing Dikhuatiri Hilang Di Perairan Pulau Bunting, Yan Kedah


ALOR SETAR - Sebuah bot yang membawa tujuh pemancing termasuk seorang tekong dikhuatiri hilang di perairan Yan berhampiran Pulau Bunting sejak pukul 8 malam tadi.

Dua mangsa yang hilang ialah tekong Khairul Anuar Arshad, 39, dan pemancing dari Kulim, Mohamad Ramli, 57, manakala selebihnya belum dikenal pasti.

Timbalan Pengarah Operasi Pengkalan Maritim Kuala Kedah, Hairilizhar Norazmi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak perempuan mangsa pada kira-kira pukul 5.50 pagi tadi.

"Bot tersebut keluar pada pukul 6 pagi semalam dan sepatutnya pulang pada pukul 7 petang hari sama.

"Menurut anak kepada salah seorang pemancing itu, kali terakhir mereka menerima mesej WhatsApp daripada bapanya pada pukul 8 malam yang memaklumkan bot yang dinaiki mengalami kerosakkan enjin," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kesemua mangsa digerakkan bermula pukul 9.43 pagi tadi di sekitar kedudukan terakhir bot tersebut dilaporkan hilang iaitu di kedudukan 13 batu nautika barat Pulau Bunting, Yan.

"Tiga aset digunakan untuk menjalankan operasi SAR melibatkan bot Penggalang 35 dan Kilat 7 serta sebuah pesawat Bombardier CL 415.

"Operasi ini turut dibantu pihak bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta sebuah bot nelayan," ujarnya.-